Kongres Statutori FIT Sedunia 2022, 30 & 31 Mei 2022

Ditulis oleh :

Kongres Statutori Sedunia 2022 berlangsung pada 30 dan 31 Mei 2022 di Melia Internacional Hotel, Varadero Cuba.  Kongres yang menghimpunkan sebahagian besar persatuan terjemahan di seluruh dunia berlangsung dua hari diikuti oleh Kongres FIT Sedunia yang berlangsung dari 1 hingga 3 Jun 2022.  Persatuan Penterjemah Malaysia telah menghantar dua wakil, Profesor Madya Dr. Salinah Jaafar dan Puan Maria Abdullah sebagai proksi kepada Presiden dan Setiausaha Agung persatuan.

Hari pertama kongres statutori melibatkan laporan tahunan FIT yang dikemukakan oleh setiap portfolio, aktiviti yang dijalankan pada tahun 2020-2022, laporan kewangan, serta permohonan untuk ahli baru yang ingin menyertai FIT.  Kepakaran FIT berkembang seiring dengan keperluan terjemahan yang semakin meningkat di seluruh dunia.  Sebagai tambahan kepada laporan tahunan, hari pertama kongres juga merupakan pengumuman FIT Wilayah Amerika Latin dengan pengumuman presiden dan anggota jawatankuasa induk FIT Amerika Latin.  Pencalonan ahli FIT yang baru juga turut diadakan pada hari pertama ini.  Keanggotaan FIT meningkat dengan kelulusan beberapa permohonan anggota baru dari seluruh dunia. Hari pertama berakhir dengan kelewatan keputusan untuk menerima cadangan dari FIT Amerika Latin yang mencadangkan agar bahasa Sepanyol diterima sebagai bahasa FIT rasmi selain bahasa Inggeris dan Perancis.  Setelah undian dijalankan bahasa Sepanyol diistihar sebagai bahasa rasmi FIT di samping bahasa Inggeris dan bahasa Perancis.

Hari kedua kongres Statutori dimulakan dengan perbincangan mengenai hal-hal kewangan serta pembubaran anggota majlis FIT serta pencalonan anggota majlis FIT yang baru.  Dari 18 calon yang bertanding sebagai ahli dewan FIT, 14 dipilih berdasarkan undian. Presiden dan Setiausaha Kehormat juga telah dicadangkan sebagai Anggota Kehormat dan Penasihat Kehormat bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka sebagai bekas Setiausaha dan Presiden FIT.  Selain mengumumkan anggota dewan baru, aktiviti hari kedua juga menyaksikan pencalonan Kongres Dunia 2025 yang melibatkan China, Rusia dan Costa Rica.  Berdasarkan undian, Costa Rica mendapat suara tertinggi dan secara langsung dicalonkan sebagai destinasi persidangan Kongres Dunia 2025.  Hari kedua berakhir dengan sesi bergambar dengan semua anggota kesatuan kongres FIT dan berakhir pada pukul 5 petang.

Pada 1 Jun 2022, delegasi Malaysia telah membuat kunjungan rasmi ke pejabat Kedutaan Malaysia di Havana, Cuba.  Perjalanan ke Havana mengambil masa 2 jam, delegasi Malaysia juga dibawa melawat  kawasan bersejarah di sekitar Havana sebelum mengunjungi pejabat rasmi kedutaan pada jam 1 tengah hari.  Pejabat kedutaan di Havana yang diwakili oleh Yang Menjalankan Tugas TYT En. Amiri, Kerani pejabat Puan Jumaiyah, dan Setiausaha Puan Rosamila menyambut ketibaan delegasi Malaysia dengan penuh kegembiraan.  Menurut mereka, amat jarang sekali rakyat Malaysia datang mengunjungi negara Cuba, maka kedatangan delegasi Malaysia itu adalah kedatangan yang sangat menggembirakan mereka.  Delegasi Malaysia dijamu dengan makanan yang lazat yang pastinya tidak akan dilupakan ketika berada di bumi Cuba.  Usai pertemuan dan perbincangan santai di pejabat kedutaan, delegasi Malaysia pulang ke Varadero.

2 Jun 2022 menyaksikan cuaca hujan dan angin kencang di Varadero, wakil PPM Malaysia hanya sempat berjalan-jalan sekitar hotel dan keluar ke kawasan jualan barangan cenderamata bagi mendapatkan beberapa cenderamata untuk dibawa pulang.

3 Jun 2022, wakil PPM bersiap untuk pulang ke tanahair.  Wakil kedutaan Malaysia bermurah hati mengunjungi wakil PPM dan membawa kami keluar bersiar-siar sekitar Varadero, serta membawa kami makan di restoran istimewa di Varadero.  Kemudian terus menghantar kami ke lapangan terbang Varadero dalam cuaca yang hujan lebat dan berangin.  Selepas lebih kurang 31 jam perjalanan, akhirnya kami sampai ke lapangan terbang KLIA pada pukul 5.30 petang, bersamaan 5 Jun 2022.  Satu perjalanan panjang yang penuh kenangan dan pengalaman bagi kami berdua yang mewakili PPM ke Kongres FIT Sedunia di Varadero 2022.

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn