Pada 16 April 2015, Memorandum Persefahaman antara Persatuan Penterjemah Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka telah dimeterai. Memorandum ini ditandatangani oleh YBhg. Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP di pihak DBP dengan disaksikan oleh Tuan Hj. Khalik bin Sulaiman, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, manakala di pihak PPM, ditandatangani oleh YBhg. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Presiden PPM, dengan disaksikan oleh Setiausaha PPM, Puan Sa’odah binti Abdullah.
Pada dasarnya MOU ini bertujuan untuk merangka kerjasama antara PPM dengan DBP dalam mengusahakan pengukuhan, pengiktirafan, penataran dan penerbitan dalam bidang terjemahan.
Tujuh (7) perkara penting yang dipersetujui dalam MOU ini:
Pertama, Persatuan Penterjemah Malaysia(PPM) terus dinaungi oleh DBP sebagai Badan Penterjemahan Profesional. Dengan itu, semua perkara yang berkaitan dengan hal-hal pengiktirafan terjemahan yang dilaksanakan oleh PPM akan turut diperakui oleh DBP sebagai badan yang menaunginya.
Perkara kedua berkaitan Kursus dan Tenaga Pengajar, dengan PPM dan DBP bersetuju untuk saling bekerjasama dalam usaha mengadakan Kursus Penterjemahan Profesional PPM-DBP yang telah dimulakan dengan rasminya sejak tahun 1984 dan kursus-kursus lain yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa, serta pelantikan tenaga pengajar yang berkelayakan sesuai dengan bidang kursus yang disediakan.
Perkara ketiga adalah kerjasama berkaitan Pembinaan Modul Sijil Kemahiran Malaysia Bidang Penterjemahan dalam pelbagai aras yang wajar dan bekerjasama dalam pelaksanaan kursus bertauliah serta guna sama kepakaran, pusat latihan dan keperluan lain mengikut keperluan semasa.
Perkara keempat pula membabitkan persetujuan dalam melaksanakan Kerja Penterjemahan dan Penerbitan Karya Terjemahan dengan PPM ialah badan yang bertindak mengendalikan kerja penterjemahan untuk DBP, manakala DBP sebagai badan yang berkaitan dengan penerbitannya dalam apa jua bentuk yang dipersetujui secara bersama.
Dalam perkara kelima, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan Ujian dan Peperiksaan untuk menentukan tahap kecekapan calon yang mengikuti Kursus Penterjemahan Profesional PPM-DBP atau apa jua kursus berkaitan penterjemahan yang akan dilaksanakan secara bersama.
Dalam perkara keenam berkaitan Sijil dan Pengiktirafan, PPM dan DBP bersetuju untuk saling bekerjasama dalam menyediakan sijil dan memberikan pengiktirafan kepada calon yang berkelayakan dan berjaya dalam menjalani peperiksaan penterjemahan, yang melayakkan seseorang itu diiktiraf sebagai penterjemah profesional atau yang melayakkan seseorang itu memiliki Sijil Kemahiran Malaysia bidang penterjemahan dan diiktiraf sebagai berkemahiran dalam bidang yang diikutinya.
Bagi perkara ketujuh, PPM dan DBP bersetuju untuk terus mengadakan Program Jangka Panjang mengikut keperluan semasa untuk memastikan matlamat dan aspirasi negara dapat dicapai sebagaimana kehendak dan cita-cita Kerajaan Malaysia yang sehaluan dalam Memorandum yang ditandatangani ini.
Melalui Memorandum ini, diharapkan kegiatan penterjemahan akan terus berkembang maju sehingga dapat melahirkan tenaga mahir bidang penterjemahan yang mampu menampung keperluan negara dalam memperbanyak khazanah ilmu.
*****