Kerjasama Serantau PPM & SATA Memperkasa Industri Penterjemahan
Back to Home
News & ActivitiesJune 6, 2026

Kerjasama Serantau PPM & SATA Memperkasa Industri Penterjemahan

5 Jun 2026 merakamkan detik bersejarah wujudnya MOU antara Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) & Saudi Arabian Translation Association (SATA), diwakili oleh CEO SATA sendiri, Abdulrahmad al-Sayed.

MOU ini juga merupakan MOU pertama yang ditandatangani SATA dengan pihak di luar Arab Saudi, menandakan kepercayaan yang utuh terhadap PPM.

Beberapa perkembangan penting dalam dunia penterjemahan dan kejurubahasaan dibincangkan dalam pertemuan terkini antara PPM dengan SATA.

  1. Kerjasama Antarabangsa dan MOU
    Wakil Malaysia merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak SATA untuk melancarkan kerjasama dan memorandum persefahaman (MOU) dengan rakan serantau. Jemputan ke persidangan SATA pada September ini juga akan dikongsikan kepada universiti dan institusi berkaitan bagi mengenal pasti calon penyertaan dari Malaysia.
  2. Perkhidmatan Jurubahasa di Dua Masjid Suci
    Usaha memperluas akses bahasa dalam ibadah Haji terus diperkukuh melalui kerjasama melibatkan dua Masjid Suci di Arab Saudi. Tahun ini, perkhidmatan tafsiran disediakan dalam 35 bahasa, dengan sasaran untuk mencapai 50 bahasa pada tahun hadapan.
  3. Akreditasi Profesional Penterjemah dan Jurubahasa
    Malaysia kini berada pada fasa akhir pelaksanaan program akreditasi profesional bagi penterjemah dan jurubahasa. Ujian pertama dijangka dilaksanakan oleh PPM pada bulan Ogos ini, hasil perancangan yang telah bermula sejak tahun 2019. Program ini mengambil inspirasi daripada model antarabangsa seperti NAATI (Australia) dan CATTI (China).
  4. AI dan Masa Depan Penterjemahan
    Perbincangan turut menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri penterjemahan. Walaupun penggunaannya semakin berkembang, penyelidikan berskala besar berkaitan impaknya terhadap profesion, ketulenan karya dan autoriti terjemahan masih perlu diperkasakan.
  5. Jaringan Persatuan Penterjemah Asia
    Cadangan untuk mengadakan forum atau pertemuan berkala antara persatuan penterjemah Asia setiap enam hingga dua belas bulan telah dikemukakan. Inisiatif ini akan dibawa ke peringkat FIT Asia bagi memperkukuh perkongsian ilmu dan pengalaman antara negara.
  6. Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Malaysia
    Persidangan Penterjemahan Antarabangsa Malaysia yang telah berlangsung secara dwitahunan sejak tahun 1980-an akan diteruskan pada tahun hadapan melalui siri ke-21. Persidangan ini bakal dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dengan cadangan penglibatan lebih luas daripada rakan-rakan serantau termasuk SATA.

Bersama-sama kita memperkukuh profesion penterjemahan dan kejurubahasaan demi pembangunan ilmu, komunikasi dan persefahaman merentas bahasa dan budaya.

Share:
View More Activities