Dialog Awam PPM Perkenalkan Sistem Pentauliahan Penterjemah
Back to Home
News & ActivitiesAugust 26, 2026

Dialog Awam PPM Perkenalkan Sistem Pentauliahan Penterjemah

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2026 – Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) telah menganjurkan Sesi Dialog Awam bertajuk “Pengenalan Sistem Pentauliahan Penterjemah” di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Tingkat 6, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program hibrid selama dua jam ini berjaya menghimpunkan seramai 111 peserta, terdiri daripada 61 peserta secara bersemuka dan 50 peserta secara dalam talian. Penyertaan tersebut mencerminkan minat yang tinggi dalam kalangan pengamal industri, ahli akademik dan pihak berkepentingan terhadap usaha membangunkan sistem pentauliahan profesional bagi penterjemah di Malaysia.

Sesi dialog awam ini bertujuan memberikan penerangan menyeluruh tentang sistem pentauliahan yang sedang dibangunkan oleh PPM, di samping membuka ruang perbincangan dua hala bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada peserta.

Program dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan alu-aluan oleh Presiden PPM, YBrs. Dr. Hasuria Che Omar. Sesi diteruskan dengan pembentangan mengenai Sistem Pentauliahan Penterjemah yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman daripada Jawatankuasa Pentauliahan PPM.

Intipati utama yang dikongsikan sepanjang sesi pembentangan dan taklimat tersebut termasuklah perkara-perkara berikut:

Memperkukuh Standard Profesional Penterjemah

Pentauliahan merupakan mekanisme penting untuk mengiktiraf kompetensi penterjemah dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mutu perkhidmatan terjemahan. Sistem ini juga dapat menyediakan penanda aras yang lebih jelas bagi menilai tahap pengetahuan, kemahiran dan etika profesional seseorang penterjemah.

Pentauliahan turut dilihat sebagai langkah untuk melindungi masyarakat daripada perkhidmatan terjemahan yang tidak memenuhi standard sewajarnya. Hal ini penting kerana penterjemahan merupakan bidang profesional yang kompleks, melibatkan bukan sahaja pemindahan makna antara bahasa, tetapi juga pemahaman terhadap budaya, konteks, tujuan komunikasi dan keperluan pengguna.

Peranan penterjemahan dalam menghubungkan bahasa dan budaya, memperluas penyebaran ilmu, menyokong kegiatan ekonomi serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa turut diberikan perhatian. Dalam konteks perkembangan teknologi semasa, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi terjemahan mesin dapat membantu proses kerja, namun tidak seharusnya menggantikan sepenuhnya pertimbangan, kepakaran dan tanggungjawab profesional manusia.

Dalam membangunkan sistem berkenaan, PPM mengambil kira amalan dan penanda aras antarabangsa, termasuk sistem yang dilaksanakan oleh National Accreditation Authority for Translators and Interpreters (NAATI). Pandangan serta kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan turut diberikan perhatian bagi memastikan sistem tersebut sesuai dengan keperluan profesion dan industri penterjemahan di Malaysia.

Mekanisme dan Pelaksanaan Ujian

Sijil pentauliahan akan dikeluarkan oleh PPM. Pembangunan dan pelaksanaan sistem ini mendapat sokongan daripada FIT Asia. Penilaian akan dilaksanakan berdasarkan sistem band dan rubrik yang ditetapkan bagi memastikan prosesnya dijalankan secara sistematik, telus dan adil.

Pada peringkat awal, ujian pentauliahan akan memberikan tumpuan kepada arah terjemahan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Ujian tersebut dirancang untuk dilaksanakan secara bertulis menggunakan pen dan kertas sebelum diperluas kepada arah bahasa lain berdasarkan permintaan dan keperluan semasa. Pentauliahan bagi jurubahasa pula akan dibangunkan pada fasa seterusnya.

Ujian pertama dijadualkan berlangsung pada September 2026, manakala keputusan dijangka diumumkan dalam tempoh dua bulan selepas ujian dilaksanakan.

Pentauliahan ini bersifat sukarela dan tidak menggantikan kelayakan akademik dalam bidang terjemahan. Walau bagaimanapun, pengiktirafan tersebut dijangka semakin penting, khususnya bagi tugasan yang melibatkan dokumen rasmi, perkhidmatan korporat, pelabelan produk dan urusan mahkamah.

Bagi calon yang tidak mempunyai diploma atau ijazah sarjana muda dalam bidang terjemahan, mereka perlu mengikuti dua kursus wajib sebelum menduduki ujian pentauliahan, iaitu kursus Kod dan Etika serta kursus Kemahiran Antara Budaya.

Pembangunan Profesional Berterusan

Pentauliahan yang diperoleh perlu diperbaharui setiap tiga tahun melalui pengumpulan mata Pembangunan Profesional Berterusan atau Continuing Professional Development (CPD). Penterjemah bertauliah perlu menyertai bengkel, kursus atau kegiatan pembangunan profesional yang berkaitan serta menjelaskan yuran pembaharuan yang ditetapkan. Mekanisme pembaharuan ini bertujuan memastikan penterjemah terus meningkatkan pengetahuan dan kompetensi mereka selaras dengan perkembangan bahasa, teknologi dan keperluan industri.

Dalam mendepani perkembangan teknologi AI, PPM turut mengenal pasti keperluan untuk menawarkan kursus pascapenyuntingan sebagai salah satu bentuk pembangunan profesional pada masa hadapan. Kemahiran ini penting bagi membolehkan penterjemah menilai, menyunting dan menambah baik hasil terjemahan yang dijana atau dibantu oleh teknologi, khususnya dari segi ketepatan makna, kesesuaian konteks dan mutu bahasa.

Dialog Terbuka Bersama Peserta

Usai pembentangan, program diteruskan dengan sesi soal jawab yang dipengerusikan oleh Dr. Rusmadi Baharudin, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pentauliahan PPM. Sesi tersebut menampilkan YBrs. Dr. Hasuria Che Omar dan Profesor Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman sebagai ahli panel.

Sesi dialog berlangsung secara aktif dengan pelbagai pertanyaan dan pandangan dikemukakan oleh peserta. Antara perkara yang dibincangkan termasuk mekanisme pengawalseliaan ujian, kaedah memastikan penilaian dilaksanakan secara adil, pengiktirafan sijil daripada badan profesional lain seperti NAATI dan Chartered Institute of Linguists (CIOL), arah bahasa yang akan diuji serta kaedah pelaksanaan ujian.

Peserta turut mendapatkan penjelasan tentang pengiktirafan pentauliahan bagi tugasan di luar negara, perancangan pentauliahan jurubahasa, proses pembaharuan pentauliahan, pelaksanaan program CPD serta mekanisme aduan dan pemantauan kualiti. Maklum balas yang diterima melalui sesi ini memberikan input yang bernilai kepada PPM dalam memperincikan sistem berkenaan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

Secara keseluruhannya, Sesi Dialog Awam Pengenalan Sistem Pentauliahan Penterjemah berjaya menyediakan wadah perbincangan yang konstruktif antara PPM dengan pengamal industri, ahli akademik dan pihak berkepentingan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PPM untuk meningkatkan mutu perkhidmatan terjemahan, memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap penterjemah profesional serta memartabatkan profesion penterjemahan di Malaysia.

Program diakhiri dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.

Share:
View More Activities