Syarahan Umum PPM Kupas Peranan Terjemahan Sastera dalam Konteks Global
Back to Home
News & ActivitiesAugust 26, 2026

Syarahan Umum PPM Kupas Peranan Terjemahan Sastera dalam Konteks Global

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2026 – Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) telah menganjurkan Syarahan Umum bertajuk Literary Translation and the Global Context Today (Penterjemahan Sastera dalam Era Global Masa Kini) di Bilik Latihan 6 dan 7, Aras 5, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Syarahan selama dua jam tersebut disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Safa Elnaili, Profesor Madya Bahasa Arab dan Pengarah Program Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Moden dan Klasik, University of Alabama, Amerika Syarikat. Program ini berjaya menghimpunkan seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada penterjemah, pengamal bahasa, ahli akademik serta individu yang berminat dalam bidang terjemahan sastera secara bersemuka.

Program dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan alu-aluan oleh Profesor Madya Dr. Norhazlina Husin yang juga merupakan Ahli Majlis Persatuan Penterjemah Malaysia. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kehadiran penceramah dan para peserta serta menekankan kepentingan penganjuran program ilmiah yang dapat memperluas pengetahuan dan memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan pengamal bidang terjemahan.

Dalam syarahannya, Profesor Madya Dr. Safa Elnaili menghuraikan kedudukan dan kepentingan terjemahan sastera dalam konteks global serta peranan penterjemah sebagai penghubung antara bahasa, budaya dan masyarakat. Perbincangan turut merangkumi cabaran dalam menterjemahkan karya sastera, etika penterjemahan, perkembangan industri penerbitan global dan kemunculan pelbagai genre sastera kontemporari.

Beliau menjelaskan bahawa terjemahan sastera bukan sekadar proses memindahkan makna daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain. Sebaliknya, bidang ini menuntut penguasaan bahasa yang tinggi, pemahaman mendalam terhadap konteks budaya serta kepekaan terhadap unsur emosi, gaya dan kreativiti yang membentuk sesebuah karya. Oleh itu, penterjemah memikul tanggungjawab penting untuk memastikan mesej dan nilai karya dapat disampaikan kepada pembaca daripada latar bahasa dan budaya yang berbeza tanpa menjejaskan identiti serta keistimewaan teks asal.

Perkembangan teknologi, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI), turut diberikan perhatian dalam syarahan tersebut. Teknologi AI diakui berupaya membantu mempercepat dan menyokong proses penterjemahan. Namun demikian, pertimbangan manusia kekal penting dalam menangani nuansa budaya, penghayatan emosi, kreativiti dan kehalusan bahasa yang menjadi teras kepada karya sastera. Sehubungan itu, teknologi sewajarnya dimanfaatkan sebagai alat sokongan yang melengkapi kepakaran penterjemah, bukannya sebagai pengganti sepenuhnya kepada peranan manusia.

Sesi soal jawab yang berlangsung selepas syarahan membuka ruang kepada para peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan penceramah serta mendapatkan penjelasan lanjut tentang isu, cabaran dan perkembangan semasa dalam terjemahan sastera. Pertukaran pandangan tersebut memperkaya perbincangan dan memperlihatkan kepentingan wacana profesional dalam meningkatkan kefahaman serta amalan penterjemahan yang berkualiti.

Program diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah, diikuti sesi fotografi dan jamuan. Penganjuran syarahan umum ini mencerminkan komitmen berterusan PPM dalam memperkasa bidang penterjemahan, meningkatkan kompetensi pengamal bahasa serta menyediakan wadah perkongsian ilmu yang berwibawa pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Share:
View More Activities