Dokumen Rujukan Profesional
Kod Etika Penterjemah & Jurubahasa
Himpunan prinsip etika dan tatakelakuan profesional untuk membimbing penterjemah dan jurubahasa dalam menjalankan tugas dengan amanah, tepat, telus dan bertanggungjawab.
Ringkasan Dokumen
Jumlah Bahagian
8 prinsip utama
Dokumen
Kod Etika dan Tatakelakuan Penterjemah dan Jurubahasa PPM-MTA
1
Prinsip Etika
Tatakelakuan Profesional
- ·Ahli hendaklah sentiasa menjaga integriti dan kebebasan.
- ·Ahli bertanggungjawab membuat persiapan yang sewajarnya sebelum menerima kerja terjemahan.
- ·Ahli hendaklah menyempurnakan kerja terjemahan yang mereka setuju terima kecuali wujud isu etika.
- ·Ahli hendaklah mematuhi tarikh terima dan tarikh akhir kerja atau segera memaklumkan kepada klien jika ada kendala.
2
Prinsip Etika
Kerahsiaan
- ·Ahli perlu menjaga kerahsiaan sesama rakan profesional dan pihak yang berurusan dengan mereka.
- ·Dalam keadaan perlu bekerja secara pasukan, ahli dan seluruh pasukan tertakluk kepada etika menjaga kerahsiaan.
- ·Ahli tidak boleh mengambil kesempatan daripada maklumat dan hasil tugasan terjemahan yang mereka buat.
- ·Sebarang maklumat yang didedahkan hanya dibenarkan dengan izin dan persetujuan pelanggan atau peraturan yang ditetapkan oleh undang-undang.
3
Prinsip Etika
Kesaksamaan
- ·Ahli hendaklah sentiasa menjaga jarak secara profesional dalam semua keadaan semasa melaksanakan kerja kejurubahasaan dan penterjemahan.
- ·Dalam keadaan kesaksamaan profesional sukar dikekalkan atas sebab keyakinan peribadi atau faktor lain, ahli tidak sepatutnya menerima tugasan ataupun menarik diri daripada kerja berkenaan.
- ·Ahli tidak bertanggungjawab terhadap perkara yang ditulis atau disebut oleh pelanggan.
- ·Ahli tidak sepatutnya menyatakan pendapat secara lisan atau bertulis, sama ada diminta atau tidak, berkenaan apa-apa perkara atau tentang sesiapa semasa menjalankan kerja penterjemahan.
- ·Ahli hendaklah tidak menyembunyikan wujudnya apa-apa konflik kepentingan peribadi dan mengelakkan berlakunya keadaan yang boleh mewujudkan konflik kepentingan.
4
Prinsip Etika
Kecekapan
- ·Penerimaan kerja kejurubahasaan atau penterjemahan merupakan penyataan secara implisit akan kecekapan seseorang penterjemah dalam melaksanakan tugasan.
- ·Ahli berpengalaman dalam konteks, struktur organisasi, terminologi dan genre yang pelbagai dalam kerja yang diterima.
- ·Ahli menyatakan dengan jelas kelayakan arah terjemahan dari bahasa apa ke bahasa apa jika diminta oleh pelanggan.
- ·Jika tugasan yang diberikan di luar bidang kepakaran, penterjemah perlu segera memaklumkan pelanggan dan menguruskan penyelesaian yang sesuai sama ada menarik diri atau melaksanakan strategi lain yang boleh diterima.
5
Prinsip Etika
Ketepatan
- ·Ahli perlu menghasilkan terjemahan yang tepat dan sesuai daripada ungkapan atau teks sumber dalam teks bahasa sasaran.
- ·Ketepatan hendaklah dicapai dalam bentuk yang paling optimum dan sempurna tanpa sebarang penyimpangan atau penghilangan, sambil mengekalkan kandungan dan niat mesej atau teks sumber.
- ·Ahli juga perlu boleh menghasilkan terjemahan yang tepat dan sempurna menggunakan kemahiran dan kefahaman yang mereka peroleh daripada latihan dan pendidikan.
- ·Ahli tidak boleh mengubah suai, menambah atau menghilangkan mana-mana bahagian dalam kandungan dan maksud yang terdapat dalam mesej teks sumber.
- ·Ahli perlu memaklumkan dan membetulkan apa-apa kesilapan terjemahan atau interpretasi serta boleh meminta pengulangan atau penjelasan jika ada perkara yang tidak jelas.
6
Prinsip Etika
Hubungan Profesional
- ·Ahli perlu sentiasa mengekalkan standard kerja profesional sama ada dengan majikan, penterjemah bebas, agensi pemberi kontrak, penyelia, sesama rakan penterjemah dalam persatuan atau pelanggan individu.
- ·Ahli perlu berurusan dengan pelanggan atau agensi secara jujur dan telus.
- ·Ahli boleh meminta untuk diberi taklimat, capaian bahan rujukan serta makluman berkaitan latar belakang sebelum sesuatu kerja terjemahan bermula.
- ·Dalam kerja kejurubahasaan, ahli perlu mendapatkan persekitaran kerja fizikal yang membolehkan penyampaian mesej berlaku secara optimum termasuk penggunaan peralatan, langkah keselamatan, kedudukan yang selesa dan masa rehat yang munasabah.
7
Prinsip Etika
Pembangunan Profesional
- ·Ahli meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka melalui pembelajaran dan pembangunan profesional berterusan sepanjang kerjaya profesional mereka.
- ·Ahli mengekalkan kecekapan dalam bahasa dan sentiasa memelihara keterampilan budaya dalam khidmat interpretasi dan terjemahan yang ditawarkan.
- ·Ahli menyokong dan menggalakkan pembangunan profesional dalam profesion serta dalam kalangan rakan sekerja mereka.
- ·Ahli berusaha untuk sentiasa mengikuti perkembangan baharu dan hasil penyelidikan dalam bidang tersebut bagi meningkatkan kecekapan dan amalan mereka.
8
Prinsip Etika
Solidariti Profesional
- ·Ahli menyokong perkembangan profesion serta rakan sekerja dan saling bantu-membantu.
- ·Ahli menyelesaikan sebarang pertikaian dengan rakan sekerja mereka dalam bidang penterjemahan dan jurubahasa dengan semangat kerjasama, secara membina dan profesional.
- ·Ahli merujuk sebarang pertikaian yang tidak dapat diselesaikan dengan ahli lain kepada Lembaga PPM. Arahan muktamad daripada Lembaga mengikat ahli-ahli, dengan syarat terdapat peluang untuk rayuan atau semakan secara adil dan saksama.
Disahkan pada Mesyuarat Majlis PPM 23 April 2026
