
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dengan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Pada 4 September 2026, Persatuan Penterjemah Malaydsia (PPM) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Akademi Pengajian Bahasa (APB). Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) ini juga turut melibatkan tiga lagi pihak industri, iaitu GoTechUp, O’Briens dan Majlis Integrasi Pendidikan Negara (MIPN).
Majlis ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan dan kepimpinan APB, delegasi pihak industri, para tetamu kehormat serta pensyarah. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Yang Berbahagia Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, Yang Berbahagia Prof. Ir. Ts. Dr. Juliana Johari, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni, serta Yang Berbahagia Prof. Madya Dr Nor Fazlin Mohd Ramli, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri APB yang menjalankan tugas sebagai Dekan.
PPM dan UiTM telah memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai kesinambungan kepada kerjasama yang telah dimeterai pada tahun 2019.
Sepanjang tempoh kerjasama tersebut, pelbagai aktiviti bersama telah dilaksanakan oleh PPM dan UiTM, yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Antaranya termasuk penganjuran persidangan bersama, kerjasama dalam pelaksanaan seminar dan program ilmiah, latihan praktikal untuk pelajar, serta perkongsian kepakaran dan ilmu oleh ahli akademik. Selain itu, staf akademik UiTM yang turut menjadi ahli PPM juga telah memberikan sokongan dan khidmat kepakaran dalam pelbagai program anjuran PPM, termasuk forum, syarahan umum dan sesi latihan.
Dalam majlis tersebut, Yang Berbahagia Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, turut menyentuh dalam ucapannya berkenaan titah diraja Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang menekankan kepentingan penguasaan sekurang-kurangnya dua bahasa asing dalam kalangan pelajar UiTM. Penekanan ini selaras dengan usaha memperkukuh penguasaan bahasa dan kemahiran komunikasi pelajar sebagai persediaan menghadapi keperluan akademik dan dunia profesional.
Kerjasama Strategik Akademik dan Industri
Seiring dengan aspirasi tersebut, pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen PPM dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama institusi akademik, khususnya UiTM. Kerjasama ini menjadi platform penting dalam memperkasa bidang penterjemahan serta menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan dan perkembangan dunia profesional. Melalui kerjasama yang berterusan, PPM turut berperanan dalam menyediakan ruang perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman industri yang dapat memberi manfaat kepada warga akademik serta pelajar.








