Soalan Lazim Ujian Pentauliahan
Jawapan ringkas kepada soalan lazim berkaitan Ujian Pentauliahan PPM.
Pengenalan Sistem Pentauliahan
Apakah Sistem Pentauliahan Penterjemah?
Sistem Pentauliahan Penterjemah ialah proses penilaian profesional yang mengesahkan bahawa seseorang penterjemah mempunyai kompetensi untuk memberikan perkhidmatan penterjemahan secara profesional.
Mengapakah Sistem Pentauliahan diadakan?
Sistem ini diadakan untuk:
- membuktikan kompetensi profesional penterjemah;
- meningkatkan keyakinan pelanggan;
- meningkatkan pengiktirafan terhadap profesion;
- melindungi masyarakat;
- meningkatkan standard profesion penterjemahan; dan
- memperkasakan profesion penterjemah di Malaysia.
Mengapakah Malaysia memerlukan sistem ini?
Malaysia masih belum mempunyai sistem pentauliahan penterjemah pada peringkat kebangsaan, walaupun isu ini telah dibincangkan sejak lebih empat dekad.
Pembangunan sistem ini bertujuan menyediakan satu standard profesional yang seragam bagi industri penterjemahan negara.
Adakah negara lain mempunyai sistem yang sama?+
Ya. Antara negara yang telah mempunyai sistem pentauliahan ialah Australia (NAATI), Amerika Syarikat (ATA), China (CATTI), dan Indonesia (HPI).
Model-model ini dijadikan antara rujukan semasa pembangunan Sistem Pentauliahan Penterjemah PPM.
Apakah manfaat kepada pelanggan?+
Pelanggan memperoleh keyakinan bahawa penterjemah yang bertauliah telah dinilai menggunakan instrumen profesional yang dibangunkan berdasarkan standard tertentu.
Apakah manfaatnya kepada penterjemah?+
Antara manfaatnya ialah pengiktirafan profesional, peningkatan kredibiliti, disenaraikan dalam Direktori Penterjemah Bertauliah, meningkatkan keyakinan pelanggan, dan menyokong pembangunan kerjaya profesional.
Adakah pentauliahan wajib?+
Tidak. Pentauliahan adalah pilihan dan bukan syarat wajib untuk menawarkan perkhidmatan penterjemahan. Walau bagaimanapun, penterjemah yang memperoleh tauliah akan menerima pengiktirafan profesional melalui Sistem Pentauliahan Penterjemah.
Adakah saya masih boleh menjadi penterjemah tanpa pentauliahan?+
Ya. Seseorang masih boleh menawarkan perkhidmatan penterjemahan tanpa pentauliahan. Namun begitu, hanya penterjemah yang lulus Sistem Pentauliahan akan disenaraikan dalam Direktori Penterjemah Bertauliah.
Apakah perbezaan antara pentauliahan dengan sijil kursus?+
Sijil kursus membuktikan seseorang telah mengikuti sesuatu latihan atau kursus. Pentauliahan pula merupakan proses penilaian kompetensi profesional melalui ujian yang dibangunkan khusus bagi menentukan sama ada seseorang layak diiktiraf sebagai penterjemah profesional.
Apakah perbezaan antara pentauliahan dengan keahlian PPM?+
Keahlian PPM menunjukkan seseorang merupakan ahli Persatuan Penterjemah Malaysia. Pentauliahan pula merupakan pengiktirafan profesional yang diperoleh selepas calon memenuhi syarat permohonan dan lulus ujian pentauliahan.
Kelayakan Permohonan
Siapakah yang layak memohon Sistem Pentauliahan Penterjemah?+
Pemohon hendaklah memenuhi syarat minimum yang ditetapkan oleh PPM. Antaranya adalah mempunyai kelayakan akademik minimum Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF - Malaysian Qualifications Framework) Tahap 4 (Diploma atau setara) serta memenuhi syarat lain yang ditetapkan.
Apakah syarat permohonan?+
Calon hendaklah memenuhi syarat berikut:
- Kelayakan akademik minimum MQF Tahap 4 (Diploma atau setara).
- Kursus Profesional PPM/ITBM atau setara, jika tiada kelayakan akademik dalam bidang penterjemahan.
- Kursus Kod Etika dan Tatakelakuan Penterjemah (PPM-DBP) atau setara.
- Kursus Kemahiran Antarabudaya (PPM-DBP) atau setara.
Adakah semua empat syarat wajib dipenuhi?+
Tidak. Sekiranya pemohon mempunyai kelayakan akademik dalam bidang penterjemahan, pemohon tidak perlu mengambil kursus profesional sebagai syarat tambahan. Sebaliknya, pemohon yang tidak mempunyai kelayakan akademik dalam bidang penterjemahan perlu melengkapkan kursus profesional yang diiktiraf.
Saya mempunyai Diploma Profesional PPM. Adakah saya layak memohon?+
Ya. Pemegang Diploma Profesional PPM boleh memohon untuk menduduki Ujian Pentauliahan.
Saya mempunyai sijil ITBM. Adakah sijil ini diterima?+
Ya. Sijil atau kursus profesional daripada ITBM boleh dipertimbangkan sebagai memenuhi syarat yang ditetapkan bergantung kepada kelayakan yang dimiliki.
Saya mempunyai ijazah dalam bidang selain penterjemahan. Adakah saya layak?+
Ya. Walau bagaimanapun, pemohon perlu melengkapkan kursus profesional yang diiktiraf bagi memenuhi syarat permohonan.
Saya mempunyai ijazah dalam bidang penterjemahan. Adakah saya masih perlu mengambil kursus profesional?+
Tidak. Jika pemohon mempunyai kelayakan akademik dalam bidang penterjemahan, kursus profesional tambahan tidak diperlukan sebagai syarat kelayakan.
Saya telah lama menjadi penterjemah. Adakah pengalaman kerja sahaja mencukupi?+
Pengalaman kerja merupakan satu kelebihan. Walau bagaimanapun, semua calon masih perlu memenuhi syarat permohonan yang telah ditetapkan sebelum menduduki ujian.
Saya seorang pensyarah penterjemahan. Adakah saya dikecualikan daripada ujian?+
Tidak. Pentauliahan merupakan satu bentuk pengiktirafan profesional dan terbuka kepada semua yang memenuhi syarat.
Saya telah mempunyai sijil NAATI. Adakah saya masih perlu menduduki ujian?+
Hal ini bergantung pada pasangan bahasa, arah alihan bahasa, dan bukti kelayakan yang dikemukakan.
Permohonan pengecualian akan dipertimbangkan berdasarkan kes demi kes. Oleh sebab pentauliahan yang ditawarkan ini juga merupakan pilihan individu, maka keputusan untuk menduduki ujian dan memperoleh pentauliahan ialah pilihan individu.
Adakah sijil daripada badan profesional luar negara diiktiraf?+
Perkara ini boleh dipertimbangkan. Penilaian dibuat berdasarkan kesesuaian pasangan bahasa dan bukti kompetensi yang dikemukakan oleh pemohon.
Adakah ahli PPM mendapat pengecualian automatik?+
Tidak. Keahlian PPM tidak bermaksud seseorang secara automatik memperoleh pentauliahan. Calon masih perlu memenuhi syarat permohonan dan lulus ujian.
Saya bukan ahli PPM. Adakah saya boleh memohon?+
Ya. Sistem Pentauliahan tidak terhad kepada ahli PPM sahaja.
Saya masih belum mengikuti Kursus Kod Etika dan Tatakelakuan Penterjemah. Bolehkah saya memohon dahulu?+
Calon perlu memenuhi syarat permohonan sebelum menduduki ujian. Sekiranya belum mengikuti Kursus Kod Etika dan Tatakelakuan Penterjemah, calon hendaklah melengkapkannya terlebih dahulu.
Saya masih belum mengikuti Kursus Kemahiran Antarabudaya. Apakah yang perlu saya lakukan?+
Calon perlu melengkapkan kursus tersebut sebelum menduduki ujian sekiranya kursus itu merupakan syarat yang perlu dipenuhi.
Adakah kursus Kod Etika dan Kemahiran Antarabudaya akan diadakan secara dalam talian?+
Cadangan ini akan dipertimbangkan oleh pihak PPM bagi memudahkan peserta dari luar Lembah Kelang dan mereka yang mempunyai kekangan untuk hadir secara fizikal.
Adakah Diploma Profesional PPM masih ditawarkan?+
PPM tidak lagi menawarkan Diploma Profesional seperti sebelum ini. Sebagai gantinya, PPM sedang membangunkan kursus profesional baharu pada peringkat asas dan lanjutan.
Bilakah kursus profesional baharu akan diperkenalkan?+
Kursus profesional asas dan lanjutan sedang dibangunkan dan maklumat lanjut akan diumumkan oleh PPM.
Ujian Pentauliahan
Apakah format Ujian Pentauliahan?+
Ujian Pentauliahan terdiri daripada dua bahagian, iaitu Bahagian A - Terjemahan Teks dan Bahagian B - Penyemakan Terjemahan.
Dalam Bahagian A, calon diberi tiga teks sumber, iaitu teks umum kira-kira 250 patah perkataan setiap satu. Calon dikehendaki memilih dan menterjemahkan dua daripada tiga teks tersebut ke dalam bahasa sasaran.
Dalam Bahagian B, calon diberi satu teks sumber berserta terjemahannya dan senarai kategori kesalahan. Calon perlu mengenal pasti kesalahan, membetulkannya serta mengkategorikan jenis kesalahan yang dikenal pasti.
Berapakah tempoh ujian?+
Tempoh ujian ialah 3 jam 30 minit.
Bagaimanakah ujian dijalankan?+
Buat masa ini, ujian dijalankan secara bertulis di Wisma DBP, Kuala Lumpur.
Mengapakah ujian masih dijalankan secara bertulis?+
Ujian masih dilaksanakan secara bertulis sehingga terdapat infrastruktur digital yang mampu mengelakkan penipuan semasa peperiksaan.
Adakah ujian boleh dijawab menggunakan komputer?+
Tidak. Buat masa ini, ujian masih dijalankan secara bertulis menggunakan tulisan tangan.
Berapakah bilangan teks yang perlu diterjemahkan?+
Calon akan menerima tiga teks. Walau bagaimanapun, calon hanya perlu menterjemahkan dua teks.
Apakah jenis teks yang digunakan?+
Buat masa ini teks yang digunakan ialah teks umum.
Berapakah panjang setiap teks?+
Setiap teks mengandungi lebih kurang 250 patah perkataan.
Apakah kandungan Bahagian B?+
Bahagian B mengandungi teks sumber, teks terjemahan, dan senarai kategori kesalahan.
Calon perlu mengenal pasti kesalahan, membetulkan kesalahan, dan mengelaskan jenis kesalahan.
Berapakah jumlah kesalahan yang perlu dikenal pasti?+
Antara 14 hingga 18 kesalahan akan dimasukkan dalam Bahagian B.
Adakah calon dibenarkan membawa kamus?+
Ya. Calon dibenarkan membawa empat buah kamus bercetak sepanjang ujian.
Adakah penggunaan kamus elektronik dibenarkan?+
Maklumat ini tidak dinyatakan dalam pembentangan atau sesi dialog. Oleh itu, calon disarankan merujuk kepada arahan rasmi PPM sebelum peperiksaan.
Adakah Google Translate dibenarkan?+
Penggunaan sebarang aplikasi bantu terjemahan, contohnya Google Translate, Gemini, ChatGPT dan seumpamanya tidak dibenarkan semasa ujian. Ujian dijalankan secara bertulis.
Adakah ChatGPT atau kecerdasan buatan (AI - artificial intelligence) boleh digunakan?+
Sila rujuk soalan sebelum ini berhubung dengan penggunaan aplikasi bantuan. Kemahiran menggunakan AI merupakan satu kemahiran yang sepatutnya dipelajari sebelum menduduki ujian. Penggunaan AI bukan sebahagian daripada proses ujian.
Siapakah yang akan menilai jawapan calon?+
Prestasi calon dinilai oleh dua hingga tiga orang panel penilai bebas. Panel terdiri daripada pakar dalam bidang penterjemahan mengikut pasangan bahasa.
Bagaimanakah panel penilai dipilih?+
Panel dipilih berdasarkan kriteria tertentu dan kepakaran dalam pasangan bahasa yang berkaitan.
Bagaimanakah ketelusan penilaian dipastikan?+
Jawapan calon akan dihantar kepada panel tanpa identiti calon bagi bertujuan memastikan proses penilaian adalah adil dan bebas daripada sebarang unsur berat sebelah.
Adakah semua panel menggunakan kaedah penilaian yang sama?+
Ya. Semua panel akan diberi penerangan mengenai penggunaan rubrik penilaian bagi memastikan proses pemarkahan lebih seragam.
Bagaimanakah PPM memastikan markah antara panel adalah konsisten?+
Ujian terhadap rubrik penilaian dijalankan lebih awal bagi mengurangkan perbezaan pemarkahan antara penilai.
Adakah penilaian dibuat berdasarkan markah?+
Penilaian tidak bergantung pada markah semata-mata. Prestasi calon dinilai menggunakan rubrik kompetensi yang telah dibangunkan.
Berapakah markah lulus?+
Penilaian dibuat berdasarkan rubrik yang digunakan oleh panel penilai. Tidak ada markah lulus yang disediakan sebaliknya penilaian lulus dibuat berdasarkan band.
Bilakah keputusan diumumkan?+
Keputusan dijangka diumumkan dalam tempoh 8 hingga 10 minggu selepas ujian diambil.
Berapakah yuran peperiksaan?+
Yuran peperiksaan ialah RM850.00.
Berapa kalikah ujian pentauliahan diadakan?+
Buat masa ini, ujian dijalankan sekali setahun.
Jika saya gagal, bolehkah saya menduduki semula ujian?+
Ya. Calon boleh menduduki semula ujian pada sesi akan datang.
Adakah PPM menyediakan bahan persediaan?+
Ya. PPM menyediakan kit soalan dan panduan jawapan sebagai bahan persediaan kepada bakal calon.
Adakah terdapat contoh soalan?+
Ya. Contoh soalan disediakan melalui kit persediaan yang dibangunkan oleh PPM.
Yuran, Pembaharuan Dan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD)
Berapakah yuran Ujian Pentauliahan?+
Yuran Ujian Pentauliahan ialah RM850.00 bagi setiap calon.
Mengapakah yuran peperiksaan dikenakan?+
Yuran peperiksaan digunakan bagi menampung kos pengurusan dan pelaksanaan ujian termasuk penyediaan instrumen peperiksaan, pengurusan pusat peperiksaan, pelantikan panel penilai bebas, penyelarasan pemarkahan serta proses pengeluaran keputusan.
Bukankah yuran RM850 agak tinggi?+
Yuran tersebut masih lebih rendah berbanding dengan beberapa sistem pentauliahan antarabangsa seperti NAATI.
Sekiranya gagal, adakah saya perlu membayar semula yuran peperiksaan?+
Kadar yuran bagi calon yang mengulang peperiksaan belum diumumkan secara rasmi. Maklumat lanjut akan dimaklumkan oleh PPM.
Bilakah keputusan peperiksaan diumumkan?+
Keputusan peperiksaan dijangka diumumkan dalam tempoh 8 hingga 10 minggu selepas peperiksaan.
Berapa lama tempoh sah pentauliahan?+
Pentauliahan adalah sah selama tiga tahun.
Bagaimanakah cara memperbaharui pentauliahan?+
Pentauliahan perlu dibaharui setiap tiga tahun. Bagi tujuan pembaharuan, pemegang tauliah perlu memenuhi syarat 20 mata CPD sebagaimana yang ditetapkan oleh PPM.
Berapakah yuran pembaharuan?+
Yuran pembaharuan ialah RM300.00.
Apakah yang dimaksudkan dengan CPD?+
Pembangunan Profesional Berterusan (CPD - Continuous Professional Development) bertujuan memastikan penterjemah sentiasa meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan profesionalisme sepanjang tempoh pentauliahan.
Adakah PPM sahaja yang menyediakan program CPD?+
Tidak. Peserta boleh mengikuti kursus atau program yang berkaitan dengan bidang penterjemahan daripada pelbagai penganjur.
Adakah program luar diiktiraf sebagai CPD?+
Ya. Program luar yang berkaitan dengan bidang penterjemahan boleh dipertimbangkan bagi tujuan mata CPD.
Selain menghadiri kursus, apakah aktiviti lain yang boleh diambil kira sebagai CPD?+
Sumbangan profesional kepada masyarakat seperti aktiviti berkaitan dengan penterjemahan juga boleh dipertimbangkan sebagai mata CPD dengan mengemukakan bukti yang bersesuaian.
Adakah semua aktiviti CPD perlu dianjurkan oleh PPM?+
Tidak, mana-mana program yang berkaitan dengan bidang penterjemahan boleh dipertimbangkan.
Adakah PPM akan terus menawarkan kursus profesional?+
Ya. PPM sedang membangunkan kursus profesional baharu pada peringkat asas dan lanjutan yang akan diumumkan pada masa akan datang.
Pengiktirafan, Perlindungan Profesional Dan Direktori Penterjemah
Apakah kelebihannya menjadi Penterjemah Bertauliah?+
Antara kelebihannya adalah mendapat pengiktirafan profesional, meningkatkan keyakinan pelanggan, meningkatkan kredibiliti, disenaraikan dalam Direktori Penterjemah Bertauliah, dan menyokong pembangunan profesional penterjemah.
Adakah pentauliahan memberikan perlindungan undang-undang kepada penterjemah?+
Tidak. Buat masa ini, pentauliahan tidak memberikan perlindungan undang-undang secara langsung. Walau bagaimanapun, sistem ini bertujuan melindungi profesion daripada pengamal yang tidak terlatih.
Adakah penterjemah bertauliah boleh mengesahkan sendiri dokumen terjemahan?+
Perkara ini masih dalam perbincangan. Mekanisme pengesahan kendiri oleh penterjemah bertauliah belum dimuktamadkan.
Adakah PPM bercadang mewujudkan Unit Pengabsahan Terjemahan?+
Ya. Perkara ini sedang dipertimbangkan sebagai pembangunan masa hadapan.
Adakah pentauliahan ini diiktiraf oleh kerajaan?+
PPM sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan yang lebih meluas pada peringkat kebangsaan.
Adakah pentauliahan ini diiktiraf di luar negara?+
PPM sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan badan profesional berkaitan.
Apakah perbezaan antara sijil ITBM dengan Pentauliahan PPM?+
ITBM menyediakan sijil kursus, manakala PPM menyediakan Sistem Pentauliahan Profesional melalui proses penilaian kompetensi.
Adakah saya masih boleh menawarkan perkhidmatan terjemahan tanpa pentauliahan?+
Ya. Pentauliahan adalah pilihan, bukannya syarat wajib untuk menjadi penterjemah. Walau bagaimanapun, penterjemah bertauliah akan menerima pengiktirafan profesional melalui sistem ini.
Bilakah Direktori Penterjemah Bertauliah diadakan?+
Direktori dijangka mula diadakan bermula tahun 2027. Direktori ini akan mengandungi maklumat penterjemah yang berjaya memperoleh pentauliahan.
Adakah direktori turut merangkumi jurubahasa?+
Perkara ini masih dalam proses pembangunan dan akan diumumkan oleh PPM dari semasa ke semasa.
Adakah terdapat sistem aduan terhadap penterjemah bertauliah?+
Mekanisme pemantauan dan pengabsahan mungkin akan dibangunkan pada masa hadapan.
Pelaksanaan Sistem Dan Perancangan Masa Hadapan
Bilakah Ujian Pentauliahan pertama akan dilaksanakan?+
Berdasarkan perancangan yang dibentangkan, pelaksanaan Ujian Pentauliahan dijadualkan bermula pada September hingga Disember 2026.
Apakah pasangan bahasa yang ditawarkan pada peringkat awal?+
Bagi pelaksanaan pertama, ujian hanya melibatkan pasangan bahasa atau arah bahasa Bahasa Inggeris -> Bahasa Melayu. Pasangan bahasa lain akan diperkenalkan secara berperingkat mengikut keperluan dan permintaan.
Bilakah pasangan bahasa lain akan diperkenalkan?+
Pasangan bahasa lain akan dibangunkan secara berperingkat berdasarkan keperluan industri dan permintaan pengguna.
Adakah PPM akan memperkenalkan pentauliahan jurubahasa?+
Ya. Selepas pelaksanaan pentauliahan penterjemah, PPM merancang memperkenalkan pentauliahan bagi jurubahasa.
Adakah jurubahasa bahasa isyarat akan turut diberi pentauliahan?+
Perkara ini sedang dalam perbincangan.
Siapakah badan yang akan mengendalikan Sistem Pentauliahan?+
Panel menjelaskan bahawa Sistem Pentauliahan akan dikendalikan oleh Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) sebagai badan profesional dengan sokongan agensi berkaitan.
Adakah sistem ini berada di bawah kerajaan?+
Tidak. Sistem ini dikendalikan oleh badan profesional dan bukannya badan kerajaan.
Adakah akan diwujudkan badan pemantauan terhadap penterjemah bertauliah?+
Mekanisme pemantauan dan pengabsahan sedang dipertimbangkan sebagai pembangunan masa hadapan.
Adakah PPM akan menyediakan lebih banyak panduan kepada bakal calon?+
Ya. PPM telah menyediakan kit persediaan ujian dan akan terus memperkukuh bahan rujukan kepada bakal calon.
