Pada 1 September 2025, Martin J. Cowling telah mengendalikan sebuah bengkel yang bertajuk “Leadership in Professional Associations: Strategy, Innovation, and Member-Centred Impact” di Universiti Geneva. Sesi selama tiga jam ini memberi tumpuan kepada cabaran yang dihadapi oleh persatuan profesional di seluruh dunia dan mecadangkan strategi praktikal untuk memperkukuh kepimpinan, keahlian dan kelestarian jangka panjang. Persatuan Penterjemah Malaysia diwakili oleh Presiden Dr. Hasuria Che Omar, Profesor Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman (PPM/UKM) dan Dr. Chow Yean Fun (PPM/USM).
Cowling memulakan sesi dengan menekankan perubahan global dalam penglibatan komuniti. Kadar kesukarelawanan dan penyertaan sivik semakin menurun di seluruh dunia kerana ramai individu kini semakin “kesempitan masa.” Walaupun penglibatan digital semakin meningkat, komitmen yang lebih singkat berlaku dan penglibatan peribadi semakin berkurangan. Menurut beliau, perubahan ini memberi implikasi besar kepada persatuan yang selama ini bergantung pada sumbangan sukarelawan dan kesetiaan ahli secara jangka panjang.
Bengkel ini turut menyorot cabaran yang semakin ketara bagi organisasi berasaskan ahli. Banyak persatuan berdepan dengan cabaran keahlian yang statik, penglibatan yang merosot dan penurunan hasil kewangan. Pada masa yang sama, jangkaan ahli semakin tinggi, manakala semakin sedikit individu tampil untuk memegang jawatan kepimpinan. Halangan komunikasi, jurang antara generasi dan konflik dalaman organisasi turut menjejaskan kerelevanan dan impak persatuan terhadap komuniti.
Dengan menjadikan sektor terjemahan dan kejurubahasaan sebagai contoh, Cowling menarik perhatian terhadap kebimbangan berhubung kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang mula menggantikan kerja tradisional. Gangguan ini telah menyumbang kepada penurunan kadar upah, pengiktirafan profesional yang rendah dan piawaian yang tidak konsisten sehingga mewujudkan persaingan tidak adil. Untuk mengekalkan kerelevanan, bidang ini memerlukan pendekatan baharu dalam latihan dan pembangunan profesional untuk melengkapkan pengamal dengan kemahiran yang diperlukan pada masa hadapan.
Untuk menghasilkan perubahan bermakna, Cowling menegaskan kepentingan komunikasi terbuka, saling menghormati, keselamatan dan kepercayaan. Beliau menggesa persatuan supaya mengutamakan ketelusan dan kesihatan organisasi, di samping memupuk budaya pembelajaran berterusan. Dengan langkah ini, para pemimpin mampu membina organisasi yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
Bagi memastikan kelestarian jangka panjang, beliau menjelaskan bahawa persatuan perlu menunjukkan visi dan tujuan yang jelas. Daripada cuba melakukan segalanya, organisasi wajar menumpukan pada beberapa keutamaan yang mampu memberi impak lebih besar. Persatuan seharusnya saling belajar sambil berusaha mencapai kecemerlangan.
Penglibatan ahli turut menjadi tema utama sepanjang bengkel ini. Cowling menegaskan pentingnya menunjukkan nilai yang jelas kepada ahli, menawarkan model keahlian yang fleksibel dan menggunakan platform digital dengan berkesan. Komunikasi yang diperibadikan boleh memperkukuh hubungan. Sokongan, peluang rangkaian, pembangunan profesional dan manfaat eksklusif merupakan faktor penting dalam mengekalkan dan menarik ahli.
Sesi ini diakhiri dengan peringatan tentang peranan penting kepimpinan pada masa kini. Pemimpin yang berkesan bukan sahaja mampu menggerakkan perubahan positif dalam persatuan, malah menyokong isu-isu global yang lebih luas. Dalam dunia yang sentiasa berubah pantas, persatuan yang akan terus maju ialah persatuan yang mementingkan kepimpinan yang kukuh, strategi inovatif dan pendekatan berpusatkan ahli.






