Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-20 (PPA-20)

Ditulis oleh :

LATAR BELAKANG

Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) merupakan satu persidangan dwitahunan yang dianjurkan buat kali pertama pada tahun 1984 atas inisiatif Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Penganjuran ini lahir daripada kesedaran terhadap peri pentingnya penterjemahan dalam usaha pemindahan ilmu yang menjadi asas kepada pembinaan kemajuan negara, bangsa dan agama, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Kepentingan ini semakin terserlah dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Bermula dari tahun 1993, iaitu sempena PPA-4, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNM), yang kini dikenali sebagai Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad (ITNM) turut diundang sebagai penganjur bersama persidangan ini. Sejak persidangan ke-2, PPA turut dianjurkan bersama dengan sebuah institusi pengajian tinggi yang bertindak sebagai tuan rumah. Kali ini, tuan rumah bagi PPA-20 ialah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan rakan penganjur bersama iaitu PPM, DBP dan ITBM serta rakan strategik seperti Wikimedia Malaysia, Malaysian Federation of the Deaf (MFD), Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Majlis Dekan-Dekan Bahasa Universiti Awam (MaLDeC).

OBJEKTIF PERSIDANGAN

Objektif persidangan ini ialah;

  1. Memupuk pertukaran gagasan, ilmu, dan pengalaman serta memperkukuh kerjasama antara ilmuwan, ahli bahasa, penterjemah, dan pelajar di seluruh dunia dalam usaha meningkatkan kualiti terjemahan dan interpretasi secara menyeluruh.
  2. Merangsang wacana intelektual dan profesional mengenai teori, teknik, dan isu terkini dalam penterjemahan dan interpretasi, serta memperkukuh latihan dan pembangunan profesional dalam bidang ini.
  3. Menekankan peranan penterjemahan dalam pemugaran bahasa peribumi, mempromosi pemeliharaan warisan budaya, dan meningkatkan kesedaran tentang cabaran serta peluang dalam menterjemahkan bahasa peribumi dalam konteks globalisasi.
  4. Menyerlahkan peranan IPT di Malaysia yang terlibat aktif dalam penyelidikan, latihan dan pengajaran kursus terjemahan.

TEMA

Tema “Pemliharaan Warisan melalui Terjemahan” atau “Heritage Conservation through Translation” dipilih kerana ia menekankan kepentingan memelihara dan menyebarkan warisan budaya serta identiti melalui bahasa peribumi yang kian terancam oleh globalisasi. Penterjemahan berperanan penting dalam meningkatkan akses kepada karya sastera dan pengetahuan, mempromosi keterangkuman linguistik, dan memastikan setiap bahasa dihargai. Tema ini juga mendorong inovasi dalam penyelidikan dan amalan penterjemahan, menawarkan penyelesaian kepada cabaran linguistik dan budaya yang unik, serta mempromosi dialog antara budaya dalam dunia tanpa sempadan.

SUB-TEMA

Sub-tema persidangan ini ialah:

  • Pemugaran Bahasa Peribumi Melalui Terjemahan
  • Generasi Muda, Warisan dan Terjemahan
  • Kecerdasan Buatan dalam Warisan dan Terjemahan
  • Terjemahan dan Teknologi
  • Terjemahan Inovasi dan Kreativiti
  • Terjemahan dan Ketampakan Budaya
  • Terjemahan dan Bahasa Peribumi
  • Terjemahan dan Bahasa Terancam
  • Terjemahan dan Komuniti Setempat
  • Terjemahan dan Komuniti Diaspora
  • Terjemahan dan Identiti Budaya
  • Terjemahan dan Gender
  • Terjemahan dan Korpus
  • Terjemahan dalam Era Revolusi Industri 4.0
  • Terjemahan Teks Keagamaan
  • Terjemahan Manuskrip Sejarah
  • Terjemahan Budaya Popular
  • Terjemahan Warisan Kuliner
  • Terjemahan Muzik dan Lirik Tradisional
  • Terjemahan Sastera
  • Sejarah Lisan Warisan dan Terjemahan
  • Naratif Budaya dalam Terjemahan
  • Etika dalam Terjemahan
  • Lokalisasi dan Transcipta

PEMBENTANG PLENARI

Pembentang plenari terdiri daripada lima individu yang berpengalaman luas seperti Prof. Jorge Diaz-Cintas (Profesor di Centre for Translation Studies, University College London, United Kingdom), Puan Alison Rodriguez (Presiden International Federation of Translators, Brisbane), Datin Kalsom Taib (Kalsom Taib Publishing, Malaysia), Dr. Khairul Hafiz Sharkawi (Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Produk, Sarawak Digital Economy Corporation) dan Datu Dr. Sanib Taib (Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak).

Prof. Jorge Diaz-Cintas
Datu Dr. Sanib Taib
Dr. Khairul Hafiz Sharkawi
Puan Alison Rodriguez
Datin Kalsom Taib

PEMBENTANG DAN PESERTA

Melalui kehadiran lebih kurang 300 peserta dan jemputan pada hari pertama, diikuti dengan lebih kurang 200 peserta untuk dua hari seterusnya,  persidangan kali ini telah berjaya mengemukakan perbincangan dan pertukaran idea untuk tema utamanya Pemeliharaan Warisan melalui Terjemahan, dengan tajuk kecilnya yang begitu relevan dengan bidang penterjemahan kali ini. Persidangan kali ini telah berjaya mengumpulkan peserta dari 11 buah negera, yang merangkumi UK, Australia, Norway, Indonesia, Singapura, Brunei, Ireland, Itali, pelajar ijazah tinggi yang berasal dari China, Peru (secara rakaman video) dan Malaysia sendiri. Sebanyak empat (4) kertas dasar, lima (5) kertas plenari, 59 kertas kerja biasa telah berjaya dibentang. Dua (2) forum dan satu (1) bengkel juga telah berjaya diadakan. Sebanyak 22 agensi kerajaan, swasta, badan berkanun dan NGO yang telah sama-sama memberikan sokongan untuk menjayakan PPA-20 pada kali ini. Mereka ialah:

Wikimedia Malaysia  Majlis Dekan-Dekan Bahasa Universiti Awam (MaLDeC)Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC)  
Malaysian Federation of The Deaf (MFD)  Petroliam Nasional Berhad (Petronas)  Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI)  
Pustaka Negeri Sarawak  Dayak Bidayuh National Association  Mahkamah Tinggi Kuching   
Pejabat Timbalan PremierJabatan Mufti Sarawak    Institut Agama Islam Darul Ulum Kandangan
Ministry of Education, Innovation and Talent Development (MEITD)  Pejabat Pendidikan Daerah Padawan  Kuching Resident Office  
Persatuan Pendidikan, Bahasa & Komunikasi Unimas (Perbakom)  Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak  Unimas Publisher  
Majlis Islam Sarawak  Lembaga Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu  Sarawak Museum Department  
Jabatan Kerja Raya Sarawak      
Ucapan Alu-Aluan dan Pembentangan Kertas Dasar 1 oleh Prof. Dr. Ahmad Hata bin Rasit (Naib Canselor UNIMAS)

Manakala rakan media telah bertungkus lumus membuat liputan dengan begitu pantas dan sangat meluas. Penghargaan terima kasih diberikan kepada rakan media seperti yang berikut:

  Bernama  Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)  Radio Televisyen Malaysia, Sarawak (RTM)  
TV Sarawak (TVS)  Utusan BorneoSuara Sarawak  
See Hua daily  The Borneo Post  Sarawak Tribune  
Penyampaian Kertas Dasar oleh Presiden PPM
Prof. Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman (Ahli Majlis PPM)
Puan Nur ‘Atikah Halim Bashah
(Ahli Majlis PPM)
Prof. Madya Dr. Salinah Ja’afar (Naib Presiden PPM)

RESOLUSI PERSIDANGAN

Hasil daripada berkampung selama tiga hari persidangan, berikut ialah resolusi persidangan ini:

  1. Memartabatkan penterjemahan sebagai wahana pemeliharaan warisan dan identiti bangsa, khususnya bahasa etnik melalui usaha dokumentasi, transliterasi, serta penerbitan karya klasik;
  2. Mengintegrasikan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan modal insan, termasuk latihan penterjemah profesional, program mentor–mentee, dan inovasi Pendidikan, bagi melahirkan penterjemah generasi masa depan yang berdaya saing;
  3. Mengantarabangsakan karya Malaysia melalui terjemahan ke bahasa utama dunia, memperluas kerjasama strategik dengan penerbit antarabangsa, serta penglibatan aktif dalam pesta buku, seminar, dan forum global;
  4. Mengiktiraf penterjemahan sebagai jambatan diplomasi budaya yang memperkukuh kefahaman silang budaya, mengeratkan hubungan antarabangsa, serta memperluas keterhubungan serantau selaras dengan Wawasan Komuniti ASEAN 2045;
  5. Menggalakkan penterjemah menjadi pencipta makna baharu melalui transcreation, penulisan semula, dan pembangunan naratif kreatif dalam filem, drama, dokumentari, dan iklan, agar warisan dapat disampaikan secara segar, relevan, dan inklusif;
  6. Menegaskan kepentingan etika, sensitiviti budaya, dan tanggungjawab sosial dalam menterjemah teks agama, undang-undang, politik, serta isu-isu kontemporari yang berimpak besar kepada Masyarakat; dan
  7. Menyeru agar pihak kerajaan, institusi, dan penaja menyediakan dana berterusan kerana pemeliharaan warisan melalui penterjemahan memerlukan kos yang tinggi dan tidak berorientasikan keuntungan segera, namun merupakan pelaburan strategik jangka panjang yang memberikan nilai tidak ternilai kepada jati diri bangsa, pendidikan, dan diplomasi budaya negara.

Delegasi Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Ahli PPM

Bersama dengan wakil Singapura
Presiden & Urus setia PPM bersama Dato’ Sa Wai (Jurubahasa Rasmi PPA-20)

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn