Rentetan dari persidangan ini, PPM telah mengundang Prof Jorge Diaz-Cintas untuk menyampaikan syarahan umum di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2025. Program ini merupakan aktiviti tahunan PPM yang bertujuan untuk memperkenalkan tokoh dan berkongsi ilmu dalam bidang bahasa, penerbitan dan penterjemahan. Dengan mengambil peluang keberadaan Prof. Jorge di Malaysia, beliau telah diundang untuk menyampaikan syarahan umum dengan tajuk “Kecerdasan Buatan (AI) dan Masa Depan Media Global: Meningkatkan Penterjemahan dan Kebolehcapaian untuk Semua”. Program ini merupakan anjuran bersama di antara PPM dan DBP dan ia telah berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Lebih kurang 90 orang yang menghadiri sesi syarahan ini terdiri daripada pegawai jabatan kerajaan, pensyarah, pelajar dalam & luar negara, penterjemah, karyawan bebas serta pesara. Bersama Prof. Jorge, peserta dibawa menyelami dunia AI, terjemahan audiovisual dan terknologi ketercapaian media, dari transkripsi automatik hinggalah ke simulasi imej. Objektif utama penyampaian beliau adalah untuk memperkasakan kefahaman tentang AI dalam industri media, memperluaskan capaian maklumat kepada semua, dan membina jaringan antara warga akademik, industri dan masyarakat. Selain itu, objektif program juga adalah memperkenalkan pengkomputeran awan dan alat bantu digital dalam bidang terjemahan dan komunikasi serta mewujudkan jaringan profesional antara akademia, industri dan masyarakat. Selesai syarahan disampaikan, para peserta berpeluang untuk mengemukan soalan serta berkongsi pengalaman masing-masing. Pelbagai input diterima pada akhir program dan mereka berharap syarahan umum ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.







