Syarahan Umum oleh Profesor Kara Warburton

Ditulis oleh :

Pada 6 September 2024, satu syarahan umum bertajuk “Peristilahan, Standard dan Perancangan Bahasa” telah diadakan di Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Program anjuran bersama Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan menarik anggaran penyertaan seramai 60 orang.

Syarahan ini telah disampaikan oleh Profesor Kara Warburton dari Université du Québec à Trois-Rivières, Kanada. Beliau adalah seorang pakar dalam bidang peristilahan dan perancangan bahasa. Dr. Intan Safinaz Zainudin, pensyarah kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia bertindak sebagai moderator, memandu sesi perbincangan dan interaksi antara peserta dengan penceramah.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Dr. Rusmadi bin Baharudin (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP), Tuan M Azahari bin Edin (Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP), dan Prof. Emeritus Abdullah Hassan (Penasihat II, Persatuan Penterjemah Malaysia). Kehadiran tokoh-tokoh ini menambah signifikan kepada program, memberi peluang untuk perbincangan yang lebih mendalam mengenai isu perancangan bahasa di Malaysia.

Sesi soal jawab mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, dengan peserta terlibat aktif dalam mengemukakan soalan dan pandangan. Perbahasan ilmiah yang mendalam telah berlangsung, khususnya berkaitan dengan terminologi dalam perancangan bahasa, yang telah dijelaskan dengan tuntas oleh penceramah. Program ini berjaya memperkaya pemahaman peserta tentang isu-isu kritikal dalam peristilahan dan perancangan bahasa.

Program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam membincangkan peranan peristilahan dan standardisasi dalam perancangan bahasa, di samping mengukuhkan hubungan sinergi antara para  ahli akademik dengan pemain industri penterjemahan.

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn