KUNJUNG HORMAT PERSATUAN PENTERJEMAH MALAYSIA (PPM) KE DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)

Ditulis oleh :

Pada 8 Ogos 2023, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) telah mengadakan satu kunjung hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), untuk bertemu secara khusus Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Y.Brs. Dr. Hazami Jahari.  Turut hadir ialah para pegawai kanan pengurusan daripada Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Penerbitan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, serta wakil bahagian pentadbiran am, komunikasi korporat, perancangan bahasa, dan bahagian komunikasi korporat DBP. PPM telah diwakili oleh Presiden, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan; Naib Presiden, Dr. Hasuria Che Omar, Setiausaha Kehormat, Puan Sa’odah Abdullah serta dua ahli majlis PPM, iaitu Profesor Madya Dr. Salinah Ja’afar dan Dr. Rusmadi Baharudin.

Perbincangan dua hala telah diadakan semasa kunjungan ini berlangsung, dan antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan dengan pelanjutan Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) PPM-DBP yang telah ditandatangani kali pertamanya pada 2015. Dalam perjanjian ini, persetujuan bersama yang dicapai adalah berkaitan dengan: a) skop kerjasama PPM-DBP, yang akan terus dilanjutkan agar program bersama dapat terus diadakan demi kebaikan kedua-dua pihak dan juga masyarakat secara umumnya.  Fasal lain dalam memorandum yang akan dilanjutkan adalah, a) PPM terus kekal sebagai Badan Penterjemahan Profesional yang dinaungi DBP, dengan memperoleh dana korporat tahunan daripada DBP, b) kursus dan tenaga pengajar bersama, c) pembinaan modul sijil kemahiran Malaysia bidang penterjemahan, d) penerbitan karya terjemahan dan kerja penterjemahan, e) ujian dan peperiksaan, f) sijil dan pengiktirafan, dan g) program jangka panjang. Perjanjian terperinci bagi mana-mana aktiviti yang akan diadakan dalam memorandum ini dipersetujui untuk diadakan sekiranya perlu. Satu daripada kerjasama penting yang akan diteruskan ialah penganjuran bersama Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) yang dilaksanakan setiap dua tahun sekali. YBrs Ketua Pengarah telah mengesahkan bahawa kerjasama akan diberikan sebagai penganjur bersama  bagi melaksanakan PPA-20, 2025 yang dijangka akan diadakan di Kuching, Sarawak dengan Universiti Malaysia Sarawak sebagai tuan rumah. Sementelahan DBP juga mempunyai cawangannya di Kuching.  

Selain itu, DBP dan PPM turut membincangkan kerjasama dalam melaksanakan perancangan bagi aktiviti terjemahan yang termasuk dalam agihan dana oleh Perdana Menteri ke-10, aktiviti lain yang melibatkan kursus dan yang berkaitan dengan terjemahan yang tidak dinyatakan dalam MoU; antaranya penggunaan premis untuk kursus dan aktiviti yang dianjurkan oleh PPM serta acara-acara yang berkaitan dengan bidang ini. PPM juga akan terus memberi kerjasama dalam menterjemah istilah, ayat, iklan, ungkapan dan sebagainya oleh Khidmat DBP Sah Bahasa.  YBrs Ketua Pengarah DBP turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada ahli-ahli PPM yang telah menyediakan khidmat saran istilah, yang dimajukan kepada pihak DBP dari semasa ke semasa.  Secara khusus, khidmat ini turut membantu mencadang dan menyebar luas data dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) untuk rujukan penterjemah dan masyarakat umum.  Pihak PPM sendiri turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada khidmat PRPM yang begitu membantu penterjemah dan mengharapkan agar DBP akan terus menyebar luas peranan penting PRPM dari semasa ke semasa.

Semasa perbincangan ini, Presiden PPM turut menegaskan beberapa perkara, antaranya, agar hubungan PPM dan DBP terus dikekalkan.  Beliau turut menyatakan bahawa masyarakat penterjemah sebenarnya tidak cukup menterjemah, oleh itu timbul persoalan tentang bagaimana caranya kita boleh memandaikan dan mencerdikkan bangsa Malaysia seterusnya. Selain itu, Presiden turut menegaskan bahawa perancangan bahasa Melayu, khususnya yang berkait dengan masalah ejaan dan tanggungjawab mengajar penggunaan ejaan yang betul bukan lagi tugas dan tanggungjawab DBP memandangkan DBP mempunyai peranan lain yang lebih besar dan penting, jadi beliau menyarankan agar pihak yang berkenaan perlu bekerjasama dan mencari jalan untuk membantu untuk menyelesaikan permasalahan ini. 

Presiden turut mengingatkan bahawa peranan kecerdasan buatan (AI) sangat penting dalam dunia sekarang dan AI begitu menguasai bidang terjemahan.  Oleh itu, penterjemah disarankan untuk membiasakan dan memahirkan diri menggunakan aplikasi AI yang berkaitan seperti ChatGPT, malahan juga aplikasi Google Translate.  Selain itu, Presiden turut menyentuh tentang dana untuk bidang penterjemahan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri ke-10 baru-baru ini.  Memandangkan tumpuan dana ini lebih diberikan kepada penterjemahan karya sastera, maka pertimbangan yang sewajarnya harus diberikan kepada penterjemahan buku-buku ilmu, kerana buku-buku sebeginilah yang dapat membantu memandaikan masyarakat. Dalam hal ini, beberapa contoh baik dapat dipelajari, menerusi aktiviti penterjemahan di Indonesia, Vietnam, malahan juga dengan memanfaatkan kegiatan penterjemahan yang disokong oleh Norwegian Literature Abroad (NORLA) menerusi promosi aktif badan ini mengeksport karya kesusasteraan Norway dengan menawarkan pelbagai skim pendanaan untuk terjemahan buku dari Norway. 

Akhir sekali, Presiden turut mengingatkan agar Jurnal-jurnal bermutu tinggi yang diterbitkan oleh DBP dipastikan kekal diterbitkan dan tidak boleh ditamatkan khususnya yang berkait dengan bidang penterjemahan.  Pihak YBrs Ketua Pengarah menegaskan bahawa penerbitan jurnal ini masih diberikan perhatian yang serius demi keperluan masyarakat pembaca walaupun penerbitannya tidaklah begitu menguntungkan pihak DBP.

Semoga kerjasama PPM-DBP ini akan terus berkekalan demi kepentingan industri dan masyarakat.

Rakaman gambar foto sekitar kunjung hormat PPM ke DBP

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn