Pada 25 Jun 2024, Selasa – Persatuan Penterjemah Malaysia dengan berbesar hati telah menerima kunjungan hormat rombongan daripada Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Singapura (Ministry of Communications and Infomation, Singapore) yang bertempat di Bilik Persatuan Penterjemah Malaysia, Aras 5, Wisma DBP. Lawatan rasmi ini adalah sebahagian daripada program ‘Translators Immersion Programme (TIP) 2024’, yang bertujuan untuk mendalami dan berkongsi pengalaman berhubung amalan terbaik dalam bidang media serta penterjemahan di beberapa Jabatan/Agensi terpilih di Malaysia.
Delegasi Singapura ini terdiri daripada Jabatan Terjemahan Kementerian yang telah diketuai oleh Puan Chew Geok Joo, Penolong Pengarah, Encik Subramaniam Kannapan, Pengurus Kanan dan Puan Siti Ruzanna Nassir, Pengurus. Wakil-wakil dari Malaysia yang turut serta dalam program ini, termasuk Puan Wan Norehan Mohamed, Penolong Pengarah Unit Penerbitan Berita RTM; Puan Haslinda Zainal, Penyunting Mega Penyuntingan Bahasa Melayu, BERNAMA; Puan Fazliatul Mohamed Isa, Penolong Pengarah, Bahagian Perhubungan Antarabangsa, Jabatan Penerangan Malaysia; Encik Kamarul Fazrin Zahardin, Penolong Pengarah, Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, serta dua orang pegawai urus setia.
Setelah selesai delegasi Singapura dan wakil-wakil Malaysia ke Dewan Bahasa dan Pustaka, mereka disambut mesra oleh Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Penterjemah Malaysia, Dr. Hasuria Che Omar, Presiden PPM; PM Dr. Salinah Ja’afar, Naib Presiden PPM; Puan Sa’odah Hj. Abdullah, Setiausaha Kehormat dan Puan Hajah Fatimah Zainal, Bendahari Kehormat, serta Puan Sarah Atiqah dan anggota urus setia PPM yang lain.
Lawatan ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan terima kasih oleh Presiden PPM atas kesudian delegasi Singapura dan wakil-wakil Malaysia ke Persatuan Penterjemah Malaysia sebagai salah satu lawatan agensi dalam program TIP 2024. Agenda lawatan ini secara umum adalah untuk mengenali PPM dan peranan PPM dalam menghadapi cabaran globalisasi dan perkembangan teknologi dalam bidang penterjemahan.
Di samping itu, sesi perbincangan juga telah diadakan di antara PPM dan delegasi Singapura untuk bertukar pandangan mengenai penterjemahan serta peluang untuk kerjasama masa hadapan. Antara topik lain yang turut dibincangkan adalah teknik dan strategi penterjemahan yang berkesan, penggunaan teknologi dalam penterjemahan, latihan dan pembangunan profesional untuk penterjemah dan lain-lain. Mereka turut diperkenalkan kepada beberapa kursus anjuran PPM-DBP seperti Kursus Diploma Penterjemahan Profesional PPM-DBP dan kursus-kursus pendek lain serta aktviti-aktiviti besar PPM yang telah diadakan setiap tahun.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan dan kenangan. Kedua-dua pihak menyatakan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dalam bidang penterjemahan pada masa akan datang.
************