Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (FIT), Kuala Lumpur, Malaysia (18-20 Januari 2024)

Ditulis oleh :

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis

 Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (FIT),

Kuala Lumpur, Malaysia

 

 

18-20 Januari 2024

Pada 18-20 Januari 2024, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) telah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan Mesyurat Majlis Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (International Federation of Translators, FIT). Mesyuarat ini telah berlangsung di Hotel Grand Millennium, Kuala Lumpur.

 

Sebagai ahli tetap Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (FIT), pada tahun ini PPM telah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah kepada dua mesyuarat yang penting bertaraf antarabangsa dalam bidang penterjemahan.  Para Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis FIT yang hadir adalah dari New Zealand, Austria, Cuba, Argentina, Afrika Selatan, Ireland, Belgium, Norway, Rusia, Kanada, Macau, Slovenia dan juga Australia.  Delegasi dari China dan penasihat FIT juga turut hadir sebagai pemerhati.  Presiden PPM sendiri, Dr. Hasuria Che Omar telah mewakili Malaysia (sebagai ahli majlis FIT yang baru dipilih pada 14 Disember 2023), bersama-sama dengan dua wakil pemerhati daripada persatuan ini, iaitu Profesor Madya Dr. Salinah Jaafar (Universiti Malaya) selaku Naib Presiden dan Profesor Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman (Universiti Kebangsaan Malaysia), selaku Ahli Majlis PPM yang baru dipilih.  Ini merupakan kali kedua PPM menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ini, dengan kali pertamanya telah diadakan di Pulau Pinang pada Ogos 2013, bersempena dengan 7th Asia Translators Forum dan Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-14, 2013.

 

Di bawah naungan UNESCO, Persekutuan Penterjemah Antarabanga (FIT) telah ditubuhkan di Paris, Perancis pada 1953.  Denmark, Perancis, Itali, Norway, Republik Rakyat Jerman, dan Turki adalah antara ahli pengasas persekutuan ini, yang mewakili enam persatuan penterjemah dan jurubahasa kebangsaan. PPM juga merupakan anggota Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (FIT-IFT), gabungan persatuan-persatuan penterjemah, jurubahasa dan ahli terminologi antarabangsa dari hampir 60 buah negara seantero dunia, bermula sebagai Ahli Permerhati pada tahun 2008 dan diterima sebagai Ahli Tetap mulai tahun 2018. Melalui persatuan-persatuan anggotanyalah FIT mewakili dan memperjuangkan kepentingan moral dan material lebih daripada 60,000 penterjemah, interpreter/jurubahasa, ahli terminologi dsb. dari lima benua.  FIT memainkan peranan pentingnya terhadap aktiviti penterjemahan dalam bidang yang pelbagai, termasuklah kesusasteraan, sains dan teknikal, perkhidmatan awam, bidang undang-undang dan kehakiman, kejurubahasaan persidangan, bidang media dan diplomatik serta akademia. FIT turut dan memainkan peranan yang besar dalam pembinaan komuniti penterjemahan, keternampakan dan memastikan masa depan yang lestari untuk perkhidmatan dan kerjaya dalam bidang penterjemahan.

 

Berfungsi atas platform yang sama, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) atau MTA di peringkat antarabangsa, sebuah badan profesional sukarela ditubuhkan di bawah naungan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada 4 Oktober 1979 atas kesedaran perlunya diwujudkan sebuah pertubuhan dalam usaha menggalakkan, melindungi dan seterusnya melestarikan profesionalisme dalam kalangan para penterjemah di Malaysia. PPM telah bergerak aktif dengan kegiatan yang berkaitan dengan penterjemahan secara kolektif dalam kalangan penterjemah, interpreter/jurubahasa, ahli bahasa, ahli terminologi dan perkamusan, dan editor profesional di Malaysia.  

 

Pada hari ini, PPM diiktiraf kedudukannya di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi dengan pelantikan Presidennya sebagai ahli Majlis FIT (2023), dan PPM     sebagai ahli Majlis Asia Pacific Translation and Interpreting Forum (APTIF). Sebelum ini, mantan Presiden PPM juga pernah dipilih sebagai ahli Majlis Asia Pacific Translation and Interpreting Forum APTIF (2017). Atas penglibatan yang aktif sejak keanggotaannya dalam FIT, PPM telah dipilih menjadi tuan rumah kepada program-program penting FIT. Kini, PPM mempunyai lebih daripada 1,600 ahli yang terdiri daripada pelbagai kategori keanggotaan mencakupi para sarjana, ilmuwan, penulis, editor dan penyelidik dalam bidang terjemahan, dan para pengamal terjemahan dan interpretasi, sama ada secara sepenuh masa mahupun secara sambilan. 

 

Sepanjang program empat (4) hari, dua mesyuarat telah diadakan, pertamanya Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FIT, diikuti dengan Mesyuarat Ahli Majlis FIT. Dua program penting yang telah diadakan bersempena dua mesyuarat tersebut ialah pelancaran FIT ASIA (FIT Rantau Asia) dan Forum Antarabangsa FIT-PPM.   

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn