Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-19 (PPA-19, 2023)

Ditulis oleh :

Persidangan Penterjemahan Antarabanga ke-19 (PPA-19, 2023),  telah melabuhkan tirainya setelah bersidang selama tiga (3) hari pada 24-26 Mei 2023 di Hotel Swiss-Garden Kuala Lumpur. Pada kali ini Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diberi amanah untuk menjadi tuan rumah persidangan ini bagi kali kedua.  Sebelumnya, UIAM telah berjaya menganjurkan  PPA-7 pada tahun 1999. Pada kali ini, bagi pihak tuan rumah, IIUM Press dan Department of Library and Information Science (DLIS) telah berganding bahu bersama-sama penganjur tetap iaitu, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) untuk menjayakan persidangan ini. Bagi persidangan siri ke-19 ini, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (Malaysian Federation of the Deaf, MFD) telah dijemput sebagai rakan kerjasama.

Persidangan dwitahunan ini pertama kali dianjurkan pada tahun 1984 dengan inisiatif PPM serta DBP atas kesedaran terhadap peri pentingnya penterjemahan sebagai wahana dalam usaha pemindahan ilmu yang utama bagi membina kemajuan negara dan bangsa.  PPA terus kekal sebagai mercu tanda yang dikenali oleh semua pihak yang terlibat dalam bidang penterjemahan, bukan sahaja di Malaysia, malahan juga di peringkat antarabangsa. PPA ini juga merupakan satu-satunya persidangan penterjemahan antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia untuk semua pihak yang terlibat dalam bidang dan industri penterjemahan, termasuk ahli akademik, pembuat dasar, penerbit, pengamal, penyelidik, pelajar dan masyarakat umum.

Sesuai dengan temanya, Penterjemahan Global untuk Kesejahteraan Sejagat (Global Translation for Rahmatan ‘lil ‘Alamin) persidangan ini memberi ruang untuk perkongsian ilmu dan pengetahuan, perkongsian pengalaman pengamal, dapatan kajian, serta gagasan terkini dalam bidang penterjemahan.  Hal ini jelas memperlihatkan peranan penting penterjemahan dalam memastikan ilmu pengetahuan disampaikan dengan jelas dan tepat, dan dalam konteks Rahmatan ‘lil ‘Alamin, sebagai bakti kemanusiaan  sejagat dan khidmat kebajikan yang hadir di segenap pelosok alam ini.  Secara umum, topik perbincangan yang disentuh semasa persidangan termasuklah pelatihan, isu pemprofesionalan penterjemah, aspek sejahtera, Islamisasi ilmu melalui terjemahan, isu etika dalam terjemahan dan interpretasi, isu dan masalah dalam hak cipta penerbitan buku terjemahan, permasalahan dan perkembangan dalam teknologi terjemahan Bahasa Melayu, aspek terkini teknologi – ChatGPT, Kecerdasan Buatan (AI), penterjemahan bahasa isyarat, aspek semiotik, dan lain-lain lagi.

Persidangan PPA yang pertama dalam konteks pascapandemik ini mengemukakan 33 kertas kerja terpilih untuk pembentangan, termasuklah empat (4) kertas dasar oleh penganjur bersama: UIAM, PPM, ITBM dan DBP.  Lima (5) kertas plenari disampaikan oleh pembentang jemputan yang terdiri daripada Prof. Dr. Ahmad Faris Ismail (UIAM), Prof. Dr. Mohammed Zeki Khedher (International Computing Institute for Quran and Islamic Sciences (Jordan), Profesor Claudia V. Angelelli (Herriot-Watt University, Scotland, UK), Ms. Alison Rodriguez (Presiden, International Federation of Translators, France), dan Prof. Dr. Omar Hasan Kasule (International Institute of Islamic Thought, IIIT).  PPA-19 melibatkan penyertaaan peserta dan pembentang dari beberapa buah negara seperti China, United Kingdom, New Zealand, Indonesia, Iraq, Singapura dan Malaysia sendiri.  

Persidangan kali ini menampakkan usaha gigih penaja bersama yang mempunyai rekod cemerlang dalam penterjemahan, iaitu IIUM Press, PPM, DBP, dan ITBM. Syabas dan tahniah kepada tuan rumah dan penganjur bersamanya kerana telah berjaya mengekalkan kesinambungan kecemerlangan dalam penganjuran PPA dalam siri PPA-19, 2023 ini.

Untuk kali yang ke-20, 2025, pihak penganjur bersama tetap mengalu-alukan tuan rumahnya, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).  Ayuh kita beramai-ramai ke Sarawak dan semoga penganjuran akan terus cemerlang!

This image has an empty alt attribute; its file name is image-1.png
Penyerahan bendera tuan rumah PPA oleh UITM (PPA-18, 2021) kepada UIAM (PPA-19, 2023)
This image has an empty alt attribute; its file name is image-3.png
Mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pemandu PPA-19, 2023 Mei 2023
Pembentang Kertas Dasar & Pembentang Jemputan
Sekitar Majlis Perasmian Persidangan
Pelancaran Buku
Urus Setia PPM & Pelajar Latihan Industri
Makan Malam Persidangan
Tuan Rumah PPA-20, 2025 UNIMAS, Sarawak
UIAM – Tuan Rumah PPA-19, 2023
JK Pemandu & JK Pelaksana
Reruai PPM semasa PPA-19

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn