Syarahan Umum oleh Profesor Claudia V. Angelelli Anjuran PPM dengan Kerjasama DBP

Ditulis oleh :

Lanjutan daripada Persidangan Penterjemah Antarabangsa ke-19, telah diadakan satu syarahan umum bertajuk Professional and Non-Professional Translation and Interpreting yang disampaikan oleh Profesor Claudia V. Angelelli dari Heriot-Watt University, Edinburgh Scotland. Syarahan umum ini telah berlangsung di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, Kuala Lumpur pada 27 Mei 2023 dan dipengerusikan oleh Prof.  Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman, Ketua Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, UKM. Seramai kira-kira 60 orang peserta yang hadir terdiri daripada ahli PPM, penterjemah bebas, pegawai DBP, pelajar dan orang awam. Siri syarahan ini merupakan syarahan ke-5 dalam siri syarahan yang diadakan secara berselang-seli dengan Dialog Penterjemah yang dikelolakan secara tahunan oleh Jawatankuasa FSB (Forum, Syarahan, Seminar dan Bengkel).

Antara perkara yang menjadi topik utama dalam syarahan umum ini ialah penterjemah dan jurubahasa dalam situasi sebenar pekerjaan mereka melibatkan istilah dan konsep yang berbeza sama ada dari segi bahasa dan kedwibahasaan serta komunikasi. Pada masa yang sama penterjemah dan jurubahasa  bukan profesional dicirikan dengan ciri-ciri seperti naif, tidak terlatih, tidak bersijil dan bertauliah, melakukan kerja secara sukarela, ad hoc serta mendukung lebih daripada satu peranan dalam situasi sebenar.

Manakala dalam situasi sebenar, profesionalisme mereka bukan berdasarkan penilaian secara universal tetapi didasari dengan budaya dan praktis sosial yang menjadikan kod etikanya terbentuk mengikut ketentuan budaya dan sejauh mana mereka faham tentang peranan yang dimainkan. Oleh hal yang demikian, Kualiti kerja dan cara ia diambil bekerja sangat berkait dengan budaya tersebut. Dari segi etika penterjemah dan jurubahasa, ia mengikut etika secara manusiawi yang umum. Bukannya mengikut domain profesional dan korporat antarabangsa tertentu. 

Pengalaman pembentang berkenaan profesionalisme dan etika penterjemah dan jurubahasa profesional dan bukan profesional di negaranya merupakan pendedahan baharu untuk latar Malaysia. Hal ini dapat dijadikan panduan dalam menjangka domain dan potensi baharu profesion penterjemah dan jurubahasa pada masa hadapan dalam ruang globalisasi.

Pada akhir sesi syarahan umum ini, para peserta mengambil peluang untuk bertanya pelbagai persoalan yang berkaitan dengan isu yang dibawakan.

Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari dengan jamuan makan tengah hari.

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn