Majlis Dialog Penterjemah Bebas III

Ditulis oleh :

Bersempena Hari Terjemahan Antarabangsa dan Ulang Tahun ke-43 Penubuhan Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM)

1 Oktober 2022

Bersempena dengan Hari Terjemahan Antarabangsa dan ulang tahun penubuhan Persatuan Penterjemah Malaysia yang ke-43, PPM telah menganjurkan satu sesi bersama dengan penterjemah bebas, bertempat di Balai Seminar Tun Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP, Kuala Lumpur.  Seramai lebih kurang 50 peserta yang terdiri daripada penterjemah bebas telah menghadiri sesi dialog ini.

Majlis dialog ini dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden PPM, Profesor Emeritus Abdullah Hassan, yang mengingatkan para penterjemah agar terus membanyakkan hasil terjemahan untuk meluaskan kepustakaan dalam bahasa Melayu.  Beliau turut menyentuh tentang keperluan untuk membaca penulisan dalam bahasa Inggeris dan juga bahasa lain memandangkan bilangan buku ilmu dalam bahasa Melayu masih belum lagi mencukupi.

Antara beberapa topik yang dikongsikan dalam sesi dialog ini adalah:

  • Penguasaan teknologi oleh penterjemah

Keperluan teknologi yang canggih kini memerlukan penterjemah untuk menguasai teknologi untuk melaksanakan tugasan terjemahan seharian dengan berkesan.  Di samping menguasai teknologi berasaskan web seperti Translation Memory seperti SDL Trados dan MemoQ serta lain-lain, PPM juga sentiasa bersedia untuk melatih ahli-ahli yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan teknologi ini.

  • Penyimpanan data pelanggan untuk kegunaan masa hadapan

Penterjemah turut membangkitkan persoalan berkaitan dengan perkongsian data sesama rakan penterjemah lain dalam urusan kerja seharian.  Keputusan individu untuk perkongsian data sebegini sebenarnya bergantung kepada persetujuan yang telah dibuat antara penterjemah dengan pelanggan atau pemberi tugas.  Penterjemah perlu terlebih dahulu merujuk kepada non-disclosure agreement (NDA) yang telah ditangani sebelum sesuatu tugasan diambil.  Jika tugasan ini tidak membenarkan data dikongsi, maka penterjemah perlu mematuhi syarat ini. Penterjemah juga perlu berhati-hati dalam hal perkongsian data ini, tambahan lagi jika terdapat pernyataan yang berkait dengan isu kerahsiaan dan hak cipta yang terkandung dalam tugasan terjemahan yang ditangani.

  • Kadar bayaran perkhidmatan untuk tugas penyuntingan dan pembacaan pruf

Majlis dimaklumkan bahawa secara umumnya bayaran yang diberikan oleh pelanggan bagi kerja-kerja penyuntingan bahasa adalah lebih rendah daripada kerja-kerja pembacaan pruf.  Ini kerana, dalam pembacaan pruf, kerja-kerja yang terlibat adalah lebih banyak kerana biasanya penterjemah/penyunting akan menyemak terjemahan yang diberikan berdasarkan teks sumber.  Oleh itu bayaran yang patut dikenakan untuk kerja-kerja pembacaan pruf sepatutnya lebih tinggi daripada bayaran kerja penyuntingan bahasa.

Namun begitu, hasil perbincangan dalam sesi ini telah mendapati bahawa penterjemah perlu benar-benar memahami konsep sebenar kerja-kerja penyuntingan atau pembacaan pruf yang dilakukan.  Penterjemah diminta meneliti tawaran kerja yang diterima, iaitu sama ada mereka hanya perlu menyunting bahasa, ataupun perlu menyunting dan menyemak (editing and revising) terjemahan yang diberikan, kerana kadar bayaran yang berbeza perlu dikenakan untuk kedua-dua tugasan ini. Oleh itu penterjemah diminta untuk membuat sedikit rujukan kepada penulisan oleh Mossop (2001/2007/2014), untuk memahami dengan jelas perbezaan tugas dalam kerja-kerja penyuntingan, penyemakan dan pembacaan pruf dalam konteks penterjemahan. Pengetahuan yang diperoleh ini akan membolehkan mereka menentukan dengan lebih baik tentang kadar bayaran yang akan dikenakan kepada pelanggan. Ada juga cadangan yang dikemukakan agar kadar bayaran ditetapkan berdasarkan jumlah jam atau beban kerja yang terlibat dalam menyempurnakan tugasan yang diberikan.

  • Kadar bayaran untuk tugasan Kejurubahasaan

Dalam sesi dialog ini pertanyaan juga timbul tentang kadar bayaran bagi Jurubahasa.   Secara umumnya hadirin dimaklumkan bahawa kadar bayaran ini telah ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan yang membekalkan khidmat jurubahasa, dan kadar ini turut bergantung kepada jenis kejurubahasaan.  Para penterjemah telah dimaklumkan biasanya kadar bayaran ini dikenakan berdasarkan jumlah jam kerja, dan kadar sebenar bergantung kepada persetujuan antara pemberi tugas atau syarikat pembekal dengan jurubahasa itu sendiri.  PPM akan menyediakan garis panduan umum kadar bayaran Jurubahasa ini dalam masa terdekat, setelah merujuk dan berbincang dengan beberapa syarikat pembekal yang berkenaan.

  • Penerbitan Jurnal Penterjemah

PPM sentiasa memberikan perhatian kepada penerbitan Jurnal yang menghimpunkan makalah yang berkaitan dengan bidang penterjemahan dan kejurubahasaan.  Jurnal Penterjemah yang diterbitkan dua (2) kali setahun (edisi Januari-Jun dan Julai -Disember) ini mengalu-alukan sumbangan makalah daripada tenaga akademik, penyelidik, pelajar, dan pengamal.  Perkongsian pengetahuan yang dimuatkan dalam Jurnal Penterjemah ini diharapkan akan sentiasa memberikan idea-idea yang segar dan baharu yang dapat dimanfaatkan oleh semua pihak yang relevan dalam dunia penterjemahan dan kejurubahasaan.

  • Sesi perkongsian kerja dan pengalaman penterjemah

Satu daripada cadangan yang dikemukakan dalam perjumpaan kali ini adalah berkaitan dengan sesi perkongsian kerja dan pengalaman oleh penterjemah.  Menerusi sesi ini, pertukaran pandangan, perkongsian pengalaman boleh diadakan sesama penterjemah bebas yang sedia ada dan penterjemah muda yang baharu menceburi kerjaya dalam bidang ini.

  • Kursus Penterjemahan untuk bakal penterjemah dan kursus-kursus nilai tambah untuk penterjemah dan jurubahasa

PPM memaklumkan tentang kursus penterjemahan yang ditawarkan kepada bakal penterjemah yang ingin menceburi bidang ini, serta kursus-kursus pendek yang berbentuk nilai tambah kepada kerjaya penterjemah.  Selain itu, peserta sesi ini turut menyarankan hanya penterjemah yang berkelayakan dan terlatih sahaja yang sepatutnya diberikan tugasan terjemahan untuk dokumen-dokumen penting, misalnya yang berkaitan dengan Suruhanjaya Multimedia dan yang seumpama dengannya. Selain itu, kursus-kursus yang berkaitan dengan kod dan etika dalam kerjaya juga akan ditawarkan oleh PPM dalam masa terdekat memandangkan pengetahuan tentang ini merupakan satu keperluan kepada kerjaya dalam industri khidmat bahasa ini.

  • Pengumpulan Mata Pembangunan Profesional Berterusan (Continuous Professional Development, CPD) untuk kemajuan kerjaya hakiki

Anggota masyarakat yang berkerjaya tentunya perlu sentiasa mempertingkat kemajuan dalam kerjaya, dan penglibatan dalam sesi pembinaan ilmu untuk keperluan kerjaya juga perlu diperlihat dalam laporan kerjaya tahunan.  Oleh itu, majlis dimaklumkan bahawa kursus dan program yang ditawarkan oleh PPM turut disenaraikan sebagai kursus-kursus yang boleh menyumbang kepada mata dalam pembangunan kerjaya secara berterusan untuk ahli yang mempunyai kerjaya hakiki.  Penterjemah bebas sepenuh masa yang merancang untuk memperbaharui kelayakan mereka sebagai penterjemah bertauliah juga disarankan untuk mengikuti kursus atau sesi perkongsian ilmu untuk tujuan pengumpulan mata ini, selain menambah pengetahuan peribadi.

  • Keperihatinan penterjemah dengan penggunaan bahasa dalam dokumen organisasi komersil besar di Malaysia

Sebagai mewakili anggota masyarakat yang prihatin, penterjemah yang hadir turut menghujahkan bahawa sepatutnya terjemahan yang berkualiti dan penggunaan bahasa yang betul digunakan dalam semua urusan komunikasi rasmi dan komersil di dalam negara, khususnya yang melibatkan bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, penterjemah telah mengemukakan usul agar organisasi komersil yang besar dan penting di Malaysia perlu memberi perhatian yang sewajarnya dalam memastikan terjemahan bahasa Melayu yang dihasilkan dalam semua dokumen yang berkaitan dengan perniagaan, termasuklah label-label barangan merupakan terjemahan yang baik dan menggunakan bahasa Melayu yang betul dan bersesuaian.  Berkaitan dengan hal ini, organisasi ini disarankan untuk sentiasa merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka, Persatuan Penterjemah Malaysia dan badan-badan lain yang berkaitan sekiranya mereka menghadapi masalah atau kesulitan dalam hal-hal sebegini.

  • Penghargaan kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)

Menerusi Dialog ini, Persatuan Penterjemah Malaysia sebagai rakan kerja Dewan Bahasa dan Pustaka, yang mewakili warga penterjemah di Malaysia, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atas usaha membangunkan sistem PRPM yang menjadi rujukan utama kepada penterjemah pada masa kini. Para penterjemah turut mengharapkan agar PRPM akan dapat terus meningkatkan kemajuan kandungan digital dari semasa ke semasa. Para penterjemah juga akan sentiasa menyokong kemajuan ini dengan memberikan input-input yang bermanfaat seperti saran istilah, maklum balas penggunaan dan sebagainya.

Sesi dialog ini telah dipengerusikan oleh Dr. Hasuria Che Omar, Naib Presiden PPM, dan Tuan Razin Ong Abdullah dijemput sebagai wakil panel penterjemah bebas daripada PPM.

Rakaman foto semasa Majlis Dialog Penterjemah Bebas III, Persatuan Penterjemah Malaysia.

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn