SIDANG SUA MAYA PPM BERSAMA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP)

Ditulis oleh :

RABU, 2 JUN 2021

(Pelantar: Google Meet)

Oleh: Persatuan Penterjemah Malaysia

Pada 2 Jun 2021 (Rabu), satu sidang tertutup perbincangan dua hala dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkaitan dengan penambahbaikan Pusat Rujukan dan Persuratan Melayu (PRPM), yang merupakan sumber rujukan terpenting dalam dunia penterjemahan, khususnya yang melibatkan bahasa Inggeris-bahasa Melayu-bahasa Inggeris telah dianjurkan oleh Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM). Sidang ini yang merupakan inisiatif oleh Puan Rosidah Mohamad dan Cik Mutiara Azman, penterjemah profesional, yang juga merupakan ahli Persatuan Penterjemah Malaysia.  Sidang ini diadakan bertujuan untuk membincangkan penambahbaikan yang dapat dicadangkan terhadap Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) agar sesuai dengan keperluan semasa.  Ketua-ketua bahagian daripada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Bahagian Sistem Maklumat, Bahagian Ensiklopedia, Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, serta pegawai daripada Bahagian Sistem, Bahagian Perkamusan dan Bahagian Peristilahan dan Leksikologi juga turut serta dalam sidang ini.  Selain Puan Rosidah dan Cik Mutiara, PPM turut telah diwakili oleh Tuan Muhammad Razin Ong Abdullah, Puan Aniza Borhan dan Profesor Madya Dr. Hasuria Che Omar, dan beberapa pengamal industri (penterjemah profesional) yang telah dijemput untuk membentang dapatan pemerhatian mereka terhadap PRPM serta cadangan penambahbaikan. Beberapa peserta jemputan juga turut hadir dalam sidang ini.

Sidang yang menarik ini bermula dengan sedikit pengenalan dan tujuan sidang oleh Puan Rosidah sebagai pengendali sidang, diikuti dengan perkongsian pemerhatian dan cadangan penambahbaikan oleh empat lagi pengamal industri yang merupakan pengguna tegar PRPM, yang secara langsung turut mewakili pengguna PRPM secara umumnya.  Pengendali sesi juga turut berkongsi beberapa cadangan lain daripada pengamal yang tidak dapat hadir untuk sidang kali ini. 

Antara cadangan penambahbaikan yang telah dikemukakan adalah:

a) menambahbaik antara muka pengguna (UI – user interface),

b) interaksi pengguna (UI – user interaction) yang lebih baik,

c) bantuan pengguna (UA – user assistance),

d) menambahbaik kandungan laman,

e) lebih mesra pengguna, melangkaui penggunaan yang ‘tradisional’,

f) memperkenalkan ciri ‘premium’ berbayar kepada pengguna profesional yang berminat, (ada kadar bayaran),

g) menggunakan capaian jalur lebar lebih tinggi, terjamin, penyesuaian tapak,

h) mengadakan khidmat nasihat yang pantas,

i) mengurangkan keterikatan kamus kepada kamus fizikal tetapi seharusnya lebih fleksibel sebagai kamus digital, dengan memberi perhatian kepada persembahan, keterhubungan dan kekinian,

j) mengemas kini inti Kamus Bahasa Melayu PRPM dan mengolah bahagian Istilah Bahasa Melayu supaya terasnya bahasa Melayu,

k) meletakkan audio sebutan untuk perkataan dalam kamus; menyenaraikan perkataan atau carian terkini,

l) menambahkan kosa kata atau istilah/jargon terbaharu bidang-bidang seperti kejuruteraan, korporat, pemasaran dan perubatan,

m) menambah padanan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain seperti Kamus Melayu<>Inggeris, Perancis <> Melayu, Thai <> Melayu, Tamil <> Melayu pada PRPM,

n) memperluas masukan data Ensiklopedia PRPM, serta

o) mengambil langkah awal untuk membekalkan istilah bahasa Melayu terkini kepada agensi kerajaan, akhbar utama, agar penggunaannya dapat diselaraskan.

Pihak DBP dengan hati yang terbuka memaklumkan untuk memberi perhatian kepada cadangan-cadangan yang disampaikan, dan pihak PPM serta pengamal industri juga berharap agar cadangan-cadangan yang dikemukakan akan diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak DBP. Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani beberapa tahun lepas antara PPM dengan DBP diharapkan dapat menjadi platform terbaik untuk kerjasama kedua-dua pihak dalam usaha menambah baik PRPM ini.  Harapan kita untuk melihat PRPM menjadi rujukan UTAMA industri bahasa dan penterjemahan diharapkan akan tercapai.

Kongsi:

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on pinterest
Pinterest
Share on linkedin
LinkedIn